
MIRI — Lembaga Pelabuhan Miri (MPA) terus memperkukuhkan komitmennya dalam aspek keselamatan maklumat apabila melancarkan pelaksanaan MS ISO 27001:2022 Information Security Management System (ISMS) dalam satu majlis rasmi yang berlangsung di Imperial Hotel, Miri, petang semalam.
Majlis pelancaran tersebut telah disempurnakan oleh Pengerusi MPA merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau, Datuk Paulus Palu Gumbang.
Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa pelaksanaan ISMS ini merupakan satu lagi pencapaian penting bagi MPA dalam usaha memperkukuhkan sistem pengurusan organisasi secara menyeluruh.
Menurut beliau, standard MS ISO 27001:2022 ini merupakan sistem pengurusan kelima yang diintegrasikan dalam Sistem Pengurusan Bersepadu MPA, melengkapkan sistem sedia ada merangkumi pengurusan kualiti, keselamatan dan kesihatan pekerjaan, alam sekitar serta sistem pengurusan anti-rasuah.
“Pelaksanaan ISMS ini mencerminkan komitmen tinggi MPA dalam memastikan keselamatan maklumat organisasi sentiasa terpelihara, khususnya dari segi kerahsiaan, integriti dan ketersediaan maklumat,” katanya.

Tambah beliau, inisiatif tersebut juga selari dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 Sarawak 2030 yang memberi penekanan kepada transformasi digital sebagai pemacu utama pembangunan mampan dan daya tahan ekonomi negeri.
Sehubungan itu, pelaksanaan ISMS bukan sahaja bertujuan memperkukuhkan proses dalaman organisasi, malah turut menyokong agenda digital Sarawak secara keseluruhan.
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa kejayaan pelaksanaan sistem ini tidak hanya bergantung kepada dasar dan teknologi, tetapi juga memerlukan komitmen serta kesedaran setiap warga kerja dalam menjaga keselamatan maklumat organisasi.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pasukan pelaksana ISMS serta semua pihak yang terlibat dalam menjayakan inisiatif tersebut.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh Ahli-Ahli Lembaga Pengarah, Pengurus Besar MPA Puan Serawa Budol, barisan pengurusan, warga kerja serta rakan-rakan media.




