
KUCHING – Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) dengan kerjasama Endeavor Malaysia secara rasminya membuka permohonan program SCALE Sarawak Kohort 3 bagi edisi 2026.
Inisiatif berterusan itu bermatlamat untuk memperkasakan serta melonjakkan potensi usahawan anak Sarawak melalui bimbingan bertaraf tinggi, bengkel praktikal dan sokongan rangkaian strategik.
Program yang dijadualkan berlangsung selama enam bulan tersebut bakal menyokong tujuh syarikat tempatan berimpak tinggi dengan penawaran kurikulum yang lebih mampan.
Berbekalkan kejayaan penganjuran lalu, Kohort 3 kali ini menampilkan pelbagai penambahbaikan termasuk enam bengkel fizikal, enam sesi bimbingan berkumpulan bersemuka dan dua sesi ulasan panel perniagaan berstruktur.
Bagi melancarkan kelangsungan program, peserta akan turut didedahkan dengan pengurusan portfolio perniagaan secara langsung, sesi susulan bimbingan maya individu, akses eksklusif kepada program ‘Endeavor Scale Up’ serta penglibatan fizikal di Kuching dan Kuala Lumpur.

Pengerusi TEGAS yang juga merangkap Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh berkata, pelancaran program berkenaan membuktikan komitmen berterusan terhadap transformasi ekonomi negeri.
“Kerjasama erat bersama Endeavor ini direka khusus untuk melahirkan syarikat berdaya tahan dan berskala besar yang mampu berinovasi.
“Ia selari dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 serta Rangka Tindakan Ekonomi Digital Sarawak 2030,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan Endeavor Malaysia, Shan Li Tay berkata, langkah membawa masuk mentor bertaraf dunia ke dalam landskap keusahawanan Sarawak akan menyediakan platform strategik untuk memacu inovasi tempatan ke peringkat antarabangsa.
Menariknya, usahawan yang terpilih bakal menerima bimbingan terus daripada wakil syarikat ternama seperti Carsome, FarmFresh dan JurisTech.
Permohonan kini dibuka bermula 10 Februari hingga 30 April ini kepada syarikat pemula yang memenuhi syarat, antaranya mempunyai sekurang-kurangnya seorang pengasas bersama kelahiran Sarawak, menjana pendapatan tahunan minimum RM500,000 dan wajib memiliki hak harta intelek (IP) tersendiri.
Perniagaan tersebut juga mestilah berteraskan inovasi teknologi dan mempunyai wawasan pertumbuhan yang jelas.
Pengasas yang terpilih akan melengkapkan penilaian terperinci sebelum menyertai Hari Pelancaran di TEGAS Digital Village pada 4 dan 5 Mei depan, manakala program dijangka melabuhkan tirai sepenuhnya pada Oktober ini.
Usahawan berkelayakan yang berminat boleh mengemukakan permohonan menerusi pautan bit.ly/SCALEsarawak2026.






