KPDN giat banteras ketirisan, penyeludupan barangan kawalan kesan konflik Asia Barat

KOTA KINABALU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) terus mempergiatkan pemerkasaan penguatkuasaan antara agensi bagi membanteras ketirisan dan penyeludupan barang kawalan kesan konflik Asia Barat.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, mesyuarat Jemaah Menteri pada 11 Mac 2026 telah mengarahkan pengaktifan serta-merta Jawatankuasa Tertinggi Penyelarasan Antara Agensi Penguatkuasaan Bagi Membanteras Ketirisan dan Penyeludupan (JTPAP).

Menurut Armizan, jawatankuasa berkenaan dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dan KPDN akan bertindak selaku urus setia.

“Pengaktifan jawatankuasa ini adalah susulan daripada peningkatan risiko ketirisan dan penyeludupan barang kawalan khususnya bahan api diesel dan petrol akibat daripada konflik Asia Barat yang telah melonjakkan harga minyak global.

“Peningkatan risiko ketirisan dan penyeludupan di Malaysia berlaku kerana harga runcit diesel dan petrol di pam masih jauh rendah berbanding harga pasaran sungguhpun pelarasan kenaikan harga telah dibuat untuk tempoh 12 hingga 18 Mac 2026,” katanya semasa sidang media Program Sentuhan Kasih dan Jualan Rahmah MADANI di Dewan Muhibbah Kampung Sembulan pada Sabtu.

Dalam pada itu, beliau berkata, pelarasan harga berkenaan terpaksa dibuat lanjutan daripada peningkatan tinggi harga minyak Brent dunia di paras antara AS$90 hingga melebihi AS$100 setong minggu sebelumnya berbanding antara AS$60 hingga AS$70 setong sebelum konflik bermula.

Selain itu, risiko ketirisan dan penyeludupan menjadi semakin besar bagi Sabah dan Sarawak kerana pemberian subsidi pukal diesel masih diteruskan.

“Bagi kedua-dua negeri ini, harga pam diesel hanya RM2.15 seliter, berbanding harga pam diesel di Semenanjung Malaysia iaitu RM3.92 seliter, manakala harga pasaran Automatic Pricing Mechanism (APM) semasa mencecah RM4.30 seliter.

“Ini bermaksud rakyat di Sabah dan Sarawak membeli diesel di pam kurang separuh daripada kos sebenar,” ujarnya.

Menurutnya lagi, implikasi tanggungan subsidi kerajaan ini akan menjadi semakin jauh membesar sekiranya aktiviti penyelewengan bahan api dalam negara dan penyeludupan ke luar sempadan tidak dibanteras.

“Implikasi kewangan sedia ada subsidi pukal diesel di Sabah dan Sarawak sememangnya telah amat besar.

“Sebagai contoh, bagi tahun 2025, subsidi pukal diesel yang ditanggung kerajaan bagi kedua-dua negeri ini mencecah RM2 bilion iaitu RM924 juta bagi Sabah dan RM1.08 bilion bagi Sarawak.

“Berdasarkan kadar jumlah penggunaan yang sama dan harga pasaran semasa, implikasi tanggungan subsidi kerajaan ini akan mencecah RM4.6 bilion bagi tahun 2026,” jelasnya.

Susulan ketidaktentuan konflik Asia Barat dan harga minyak global, Armizan berkata, salah satu langkah intervensi serta-merta diputuskan oleh Jemaah Menteri iaitu keperluan untuk memperkasa penguatkuasaan merentasi keseluruhan agensi penguatkuasaan berkaitan.

Mengulas lanjut, selain kawasan-kawasan sempadan dan lokasi panas di seluruh negara, fokus utama adalah Negeri Sabah dan Sarawak dengan mengambil kira faktor subsidi pukal diesel yang masih berkuat kuasa dengan jurang harga subsidi, harga pam dan harga pasaran yang amat besar melebarkan ruang risiko ketirisan dan penyeludupan.

“Operasi penguatkuasaan akan dilaksanakan melalui Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613),” tegasnya.

Related Posts

‘Jangan sibuk ukur langsir di Putrajaya’ – Fadhlina

AYER KEROH – PKR memberi peringatan terbuka kepada mana-mana pihak agar tidak tergesa-gesa memasang angan-angan untuk mengambil alih tampuk kepimpinan negara ketika kerajaan semasa sedang giat memulihkan negara. Ketua Wanita…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Kerajaan tolak desakan kawal media – Fahmi

AYER KEROH – Kerajaan MADANI menolak sebarang desakan untuk mengawal stesen penyiaran dan agensi media sebaliknya komited mengekalkan kebebasan laporan berteraskan adab dan tertib. Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

‘Jangan sibuk ukur langsir di Putrajaya’ – Fadhlina

‘Jangan sibuk ukur langsir di Putrajaya’ – Fadhlina

Strategi penerangan pikat rakyat perlu diubah PKR

Strategi penerangan pikat rakyat perlu diubah PKR

Kerajaan tolak desakan kawal media – Fahmi

Kerajaan tolak desakan kawal media – Fahmi

PKR tidak boleh anggap keresahan rakyat sekadar sentimen – AMK

PKR tidak boleh anggap keresahan rakyat sekadar sentimen – AMK

MCA mahu judi kembali, Pas masih pertahan penyatuan?

MCA mahu judi kembali, Pas masih pertahan penyatuan?

Gempa bumi 6.1 magnitud di Sulawesi Indonesia, Pantai Timur Sabah rasai gegaran

  • By Fatin
  • August 16, 2026
Gempa bumi 6.1 magnitud di Sulawesi Indonesia, Pantai Timur Sabah rasai gegaran