
SARATOK – Tindakan pantas seorang pengawal keselamatan mengekori dua buah kenderaan mencurigakan berjaya membongkar kegiatan curi buah kelapa sawit di Ladang Sawit Busaria, Roban pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Saratok, Deputi Superintenden Mathew Manggie berkata, susulan laporan yang dibuat oleh pengawal keselamatan berusia 46 tahun itu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Saratok menahan dua lelaki tempatan secara berasingan pada hari yang sama.
Menurut beliau, pengadu pada mulanya sedang dalam perjalanan menghantar anaknya ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kalaka sebelum terserempak dengan sebuah lori dan sebuah kereta jenis Perodua Kenari keluar dari simpang ladang berkenaan.
“Curiga melihat muatan kelapa sawit di bahagian belakang lori tersebut, pengadu terus mengekori kedua-dua kenderaan berkenaan sehingga ke sekolah anaknya, sebelum lori terbabit dilihat menghala ke arah Kabong.
“Pengadu kemudiannya terus tampil ke Balai Polis Saratok untuk membuat laporan berhubung kejadian,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Bertindak atas maklumat, sepasukan polis yang diketuai oleh Inspektor Hendry menjejaki dan menahan suspek pertama berusia 38 tahun di tepi jalan sekitar Saratok.
Tangkapan kedua yang melibatkan seorang buruh berusia 36 tahun pula berjaya dilakukan di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Nyabor, Kabong.
Mathew memberitahu, pihak polis turut merampas sebuah kereta Perodua Kenari berserta kunci, sebuah lori berwarna putih dan sekeping resit jualan buah kelapa sawit bagi membantu siasatan.
Hasil siasatan awal mendapati kedua-dua suspek mengaku terlibat dalam kegiatan tersebut bersama-sama seorang lagi rakan jenayah yang dikenali dengan panggilan ‘Mat Komando’.
“Suspek mendedahkan bahawa ‘Mat Komando’ bertindak menombak buah sawit di ladang tersebut dan memuatkannya ke dalam lori sebelum mereka beredar menuju ke sebuah pusat pengumpulan sawit di Jalan Roban-Kabong untuk dijual. Suspek pertama turut mengaku menerima upah sebanyak RM100 daripada individu terbabit.
“Ujian saringan awal air kencing mendapati suspek pertama positif dadah jenis amfetamin dan metamfetamin, selain memiliki lima rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah. Suspek kedua pula mempunyai satu rekod jenayah lampau berkaitan kes kecurian,” jelasnya.
Beliau menambah, kes berkenaan kini dianggap selesai dengan penahanan kedua-dua suspek dan disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana kesalahan mencuri.







