
TAWAU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) dan Kos Sara Hidup Cawangan Tawau merekodkan nilai rampasan sebanyak RM331,984.80 membabitkan 51 kes di daerah ini, sejak Januari hingga hari ini.
Ketua Cawangannya, Mohammad Roli Aliman berkata, bagi tempoh yang sama, sebanyak 4,457 premis iaitu 2,466 premis di bandar dan 1,991 premis di luar bandar telah diperiksa.
”Op Pantau 2026 juga memeriksa sebanyak 190 premis seluruh daerah ini.
”Bilangan kes tertinggi adalah di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 iaitu 22 kes diikuti Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1963 (18 kes), Akta Timbang dan Sukat 1972 (10 kes), Akta Cap Dagangan (ACD) 2019 (2 kes) dan Akta Perlindungan Pengguna (APP) 1999 satu kes.
”Nilai rampasan tertinggi adalah di bawah AKB 1963 iaitu sebanyak RM331,801.40,” katanya kepada media selepas program Bazar Ramadan Rahmah (BRR) dan Ihsan Food bank KPDN cawangan Tawau di Bazar Ramadan Sabindo, pada Sabtu.

Turut hadir, Pembantu Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Rina Jainal.
Mohammad Roli berkata, sebanyak 32 kes direkodkan dengan jumlah kompaun sebanyak RM13,000.
”Jumlah kompaun tertinggi adalah di bawah AKHAP 2011 iaitu RM6,900 diikuti AKB 1963 (RM4,000) dan ATS 1972 (RM2,100),”katanya.
Beliau turut memaklumkan 20 kes yang dicatatkan melibatkan barang kawalan berjadual diesel, petrol, minyak masak, LPG, gula serta tepung gandum sekali gus menjadikan nilai rampasan tertinggi yang direkodkan adalah diesel iaitu RM18,497.60.
Mengulas lanjut, beliau berkata, sepanjang Ramadan ini, pematuhan peniaga terhadap penguatkuasaan akta-akta dibawah KPDN menunjukkan perkembangan positif.
”Peniaga memahami tanggungjawab mereka supaya meletakkan tanda harga yang jelas terhadap item dijual dan setakat ini tiada kes kita hasilkan.
”Kita sentiasa membuat pemantauan Op Pantau sejak 19 Januari lepas hingga 20 Mac ini,” ujarnya.

Sementara itu, Rina memuji inisiatif BRR dan berharap ia dapat membantu masyarakat setempat untuk mendapatkan makanan di bazar Ramadan dengan harga rahmah atau berpatutan.
Beliau berkata, pada program itu juga, seramai 1,000 pengunjung terawal boleh memanfaatkan sebanyak RM20 yang akan dikreditkan ke akaun e-wallet Touch n’ Go mereka secara percuma.
”Dengan itu mereka boleh membelanjakannya di bazar Ramadan ini sekali gus membantu meningkatkan ekonomi peniaga pada bulan Ramadan.
”Selain itu, 20 peniaga bazar juga mendapat RM100 melalui e-wallet yang sama,” ujarnya.
Rina turut menyeru agar pengguna membuat aduan kepada pihak KPDN Tawau sekiranya mengesan salah laku di bawah akta yang dikuat kuasakan KPDN.





