
KANGAR – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perlis berjaya mematahkan cubaan penyeludupan dadah jenis kanabis serta menyita dua motosikal disyaki tidak berkastam dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM4.28 juta menerusi dua kes berasingan.
Pengarah Kastam Perlis, Ismail Hashim berkata, kes pertama melibatkan rampasan dadah jenis kanabis seberat 136.504 kilogram yang dianggarkan bernilai RM4,179,740.
Menurut beliau, rampasan itu hasil serbuan pasukan operasi Cawangan Penguatkuasaan/Marin Kuala Perlis di kawasan tepi batu, Jalan Pesisir Pantai, Ruat, Yan, Kedah pada 22 Februari lalu kira-kira pukul 12.30 tengah hari.
“Hasil pemeriksaan telah menemukan enam bungkusan plastik hitam yang ditinggalkan dalam keadaan mencurigakan di lokasi tersebut.
“Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat 79 ketulan mampat disyaki kanabis seberat 87.54 kilogram bernilai RM262,620 serta 90 bungkusan plastik lutsinar kedap udara berisi tumbuhan kering disyaki bunga kanabis seberat 48.964 kilogram bernilai RM3,917,120,” katanya pada sidang media di Kompleks Kastam negeri di sini hari ini.
Beliau berkata, jumlah keseluruhan rampasan dadah tersebut dianggarkan seberat 136.504 kilogram dengan nilai RM4.17 juta dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Dalam kes berasingan, JKDM turut menyita dua motosikal jenis Harley Davidson yang disyaki tidak berkastam dalam satu pemeriksaan di sebuah premis di Jalan Kilang 51/205, Seksyen 51, Petaling Jaya, Selangor pada 26 Februari lalu kira-kira pukul 2.30 petang.
Ismail berkata, pemeriksaan mendapati nombor pendaftaran kedua-dua motosikal tersebut adalah palsu dan dipercayai tidak berkastam.
“Nilai motosikal berkenaan dianggarkan RM57,000 dengan jumlah cukai sebanyak RM45,030.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya.
Beliau menegaskan JKDM akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan dan risikan bagi mengekang aktiviti penyeludupan dadah serta barangan tidak berkastam di negara ini.
Menurutnya, orang ramai juga digalakkan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan melalui talian bebas tol Kastam 1-800-88-8855 atau di pejabat Kastam berhampiran.



