
PERTUBUHAN Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendedahkan tindakan Israel yang terus menyekat kemasukan bahan binaan perlindungan ke Semenanjung Gaza mengakibatkan ratusan ribu pelarian Palestin kini terdedah kepada ancaman banjir besar.
Jurucakap PBB, Stephane Dujarric berkata, sekatan ketat terhadap material kritikal itu berlaku ketika musim hujan semakin memuncak, sekali gus meletakkan lebih 900 daripada 1,500 tapak perlindungan di Gaza dalam risiko bencana.
“Tapak-tapak ini menempatkan ratusan ribu penduduk yang kehilangan tempat tinggal selepas kediaman mereka musnah atau rosak akibat serangan.
“Meskipun lapan tapak penempatan sementara telah dibuka, namun rakan kemanusiaan kami masih gagal memperoleh peralatan dan bahan asas untuk membina perlindungan yang lebih mampan,” katanya dalam satu sidang akhbar pada Rabu, lapor Anadolu.
Menurut Dujarric, antara bekalan mendesak yang disekat termasuklah set peralatan pertukangan, kayu balak dan simen untuk membaiki kediaman, selain jentera berat bagi kerja-kerja pembersihan sisa runtuhan.
Tegas beliau, pembukaan lebih banyak pintu sempadan dan aliran bekalan bantuan yang konsisten, termasuk bahan api, adalah sangat kritikal bagi membolehkan agensi bantuan memperluas operasi kemanusiaan secara selamat dan terancang.
Sejak perjanjian gencatan senjata dikuatkuasakan pada Oktober lalu, dilaporkan seramai 618 rakyat Palestin terkorban manakala 1,663 lagi cedera akibat pencabulan berterusan oleh pihak Israel melalui serangan udara dan tembakan setiap hari.
Konflik yang bermula sejak 8 Oktober 2023 itu telah meragut lebih 72,000 nyawa rakyat Palestin dan mencederakan lebih 171,000 individu, yang mana majoritinya terdiri daripada golongan wanita dan kanak-kanak, selain memusnahkan hampir 90 peratus infrastruktur awam di wilayah berkenaan.







