
KUALA LUMPUR – Kerajaan meneruskan komitmen memperkukuh tatakelola dan membanteras rasuah menerusi pelbagai pembaharuan dasar serta perundangan bagi menjamin ketelusan, akauntabiliti dan kebebasan institusi penguatkuasaan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, inisiatif berkenaan dirangka berdasarkan syor Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan dipersetujui Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional (JKKTN) yang dipengerusikan Perdana Menteri.
Menurut beliau, usaha memperkasa tadbir urus yang baik kekal sebagai keutamaan pentadbiran negara, termasuk memperkenalkan langkah konkrit bagi memastikan kebertanggungjawaban serta ketelusan sistem penyampaian awam.
Antara teras utama ialah pelaksanaan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024–2028 yang menggariskan lima strategi menyeluruh, termasuk mempertingkat kecekapan dan profesionalisme agensi penguat kuasa.
Selain itu, Akta Perolehan Kerajaan 2025 yang skop dasarnya dipersetujui JKKTN turut menjadi komponen penting dalam reformasi perolehan awam.
Azalina berkata, Rang Undang-Undang (RUU) Perolehan Kerajaan diluluskan Dewan Rakyat pada 28 Ogos 2025 dengan memperkenalkan dua mekanisme baharu, iaitu Panel Kajian Semula sebagai entiti bebas bagi menilai keputusan perolehan serta Tribunal Rayuan Perolehan.
“Akta ini diwujud bagi memperkukuhkan tatakelola, ketelusan dan kecekapan dalam pelaksanaan perolehan kerajaan,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web rasmi Parlimen.
Beliau menjawab pertanyaan Datuk Seri Hamzah Zainudin (Larut) berhubung langkah kerajaan memerangi rasuah dan salah guna kuasa serta usaha menjamin kebebasan institusi penguatkuasaan.
Dalam perkembangan berkaitan, Azalina memaklumkan pindaan terhadap Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711) akan dilaksanakan bagi memperluas perlindungan kepada individu yang tampil mendedahkan salah laku.
“Pindaan akta ini dilaksana bagi memperkasakan perlindungan pemberi maklumat bagi menggalakkan pendedahan maklumat berhubung sebarang jenayah rasuah atau salah laku, sekali gus memastikan saluran aduan yang lebih diyakini dan berkesan,” katanya.
Kerajaan turut menggubal RUU Kebebasan Maklumat bagi membolehkan orang ramai mendapatkan akses kepada maklumat daripada badan awam dan kerajaan.
“Langkah ini diambil bagi memastikan ketelusan penyampaian perkhidmatan awam dipertingkatkan melalui pembabitan rakyat dalam proses pembentukan dasar negara selaras dengan NACS,” katanya.
Beliau berkata, pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) berteknologi tinggi di pusat tahanan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan lokap Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di seluruh negara juga dipersetujui Kabinet.
Langkah itu, katanya, bertujuan meningkatkan tahap akauntabiliti dan kecekapan agensi penguatkuasaan di samping menjamin keselamatan tahanan.
Selaras pindaan terhadap Akta Audit 1957 yang memperkukuh peranan Jabatan Audit Negara, kerajaan akan menubuhkan Jawatankuasa Tindakan Ketakteraturan Serius (JTKS) bagi memastikan tindakan lebih berkesan dan berimpak tinggi dapat dilaksanakan secara proaktif.
“Selain itu, seiring usaha kerajaan meningkatkan ketelusan dan kepercayaan awam terhadap sistem kehakiman negara, mesyuarat turut bersetuju untuk melaksanakan penstriman langsung perbicaraan rasuah pada peringkat Mahkamah Rayuan bagi tontonan umum.
“Penstriman langsung ini bukan saja mencerminkan kesungguhan kerajaan dalam membanteras rasuah, malah meningkatkan keyakinan orang ramai terhadap sistem kehakiman negara,” katanya.
Azalina turut memaklumkan cadangan penubuhan Ombudsman Malaysia dengan mandat yang lebih luas merangkumi salah tadbir, salah laku, perlindungan pemberi maklumat dan kebebasan maklumat.
“RUU Ombudsman dijangka dibentangkan di Parlimen pada 2026,” katanya.
Dalam pada itu, Pasukan Petugas Khas Indeks Persepsi Rasuah (CPI) yang ditubuhkan pada 8 Mei 2024 memberi penekanan kepada pemantapan profesionalisme agensi penguat kuasa melalui Kumpulan Fokus Penguatkuasaan yang diterajui Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC).
“Bagi meningkatkan integriti dan tadbir urus kementerian serta agensi kerajaan, kerajaan melalui Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia (PPSM) SP.1.2.1 Tahun 2022 telah memperuntukkan penubuhan Unit Integriti (UI) di setiap kementerian, jabatan dan agensi kerajaan, sama ada pada peringkat Persekutuan mahupun negeri.
“Penubuhan ini bertujuan mengurus dan melaksanakan inisiatif penginstitusian integriti, pencegahan, pematuhan, pengesanan salah laku serta tindakan punitif secara lebih fokus, terancang, efisien dan optimum, termasuk dalam sektor pembinaan,” katanya.






