
CYBERJAYA – Kerajaan mengesahkan lapan Ahli Parlimen yang menyokong pentadbiran tidak hadir ketika pengundian Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2026 berhubung cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada maksimum 10 tahun, sekali gus menyebabkan usul itu gagal memperoleh majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.
Jurucakap kerajaan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, ketidakhadiran itu membabitkan tiga MP daripada Barisan Nasional (BN); masing-masing seorang daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Parti Bangsa Malaysia (PBM); serta dua Ahli Parlimen bebas yang menyokong kerajaan.
“Jadi, kita sudah membuat semakan dengan Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) dan juga Pejabat Ketua Whip mengenai Ahli Parlimen tidak hadir.
“Dari blok PH, 100 peratus hadir. Semua hadir dan semua mengundi.
“Setiap dari mereka bila ditanya kenapa tidak berada di situ (Dewan Rakyat) ada yang memberikan pelbagai alasan,” katanya lapor BH.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) di Menara 2 Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), semalam.
Lapan Ahli Parlimen yang tidak hadir ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Datuk Henry Sum Agong (Lawas), Riduan Rubin (Tenom), Datuk Seri Hishammuddin Hussein (Sembrong), Datuk Suhaimi Nasir (Libaran), Datuk Seri M Saravanan (Tapah), Datuk Larry Soon (Julau) dan Datuk Seri Dr Jeffrey @ Kitingan (Keningau).
Fahmi memaklumkan, Ahli Parlimen Libaran tidak dapat menghadiri persidangan kerana dimasukkan ke hospital, manakala Ahli Parlimen Tapah menghadiri upacara keagamaan.
“Saya difahamkan Ahli Parlimen Libaran berada di hospital, manakala Ahli Parlimen Tapah memaklumkan bahawa beliau menghadiri upacara sembahyang,” katanya.
Mengulas reaksi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhubung perkara itu, beliau berkata jelas terpancar rasa kecewa pada raut wajah pemimpin berkenaan.
“Saya lihat raut wajah beliau… Timbalan Perdana Menteri itu kelihatan sedikit kecewa bahawa lapan Ahli Parlimen tidak ada (dalam Dewan Rakyat),” katanya.
Dalam pengundian tersebut, RUU berkenaan hanya memperoleh 146 undi menyokong, kurang dua undi daripada jumlah 148 yang diperlukan untuk majoriti dua pertiga sementara seramai 32 Ahli Parlimen tidak hadir, manakala 44 lagi berkecuali.
Keputusan undi belah bahagian itu diumumkan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, selepas perbahasan membabitkan 41 Ahli Parlimen daripada blok kerajaan dan pembangkang.


