
PARIS – Perancis mengerahkan jet pejuang Rafale ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) bagi melindungi pangkalan tentera laut dan udaranya daripada serangan Iran.
Menteri Luar, Jean-Noel Barrot berkata, Perancis mempunyai ratusan anggota tentera laut, udara dan darat di UAE.
Katanya, jet Rafale itu ditempatkan di Pangkalan Dhafra, berhampiran Abu Dhabi.
Beliau berkata, tindakan itu diambil selepas sebuah hangar pangkalan milik negara itu di UAE terkena serangan dron, kelmarin.
“Jet pejuang Rafale bersama juruterbangnya dikerah memastikan keselamatan kemudahan kami.
“Mereka menjalankan operasi untuk memastikan keselamatan di ruang udara atas pangkalan kami,” kata Barrot.
Beliau berkata demikian kepada saluran penyiaran BFMTV ketika ditanya mengenai tindakan Perancis di UAE bagi menghalang serangan dron Iran, hujung minggu lalu.
Barrot berkata, Perancis sedang merancang langkah bagi mempertahankan diri daripada serangan akan datang serta melindungi kepentingannya di kawasan terbabit.
Sabtu lalu, Amerika Syarikat dan sekutu rapatnya, Israel, melancarkan serangan ke atas Iran sehingga meragut nyawa pemimpin tertinggi republik Islam itu, Ayatollah Ali Khamenei.
Susulan itu, Iran melancarkan serangan balas dalam konflik yang semakin meruncing serta berpotensi menjejaskan ekonomi global.






