SANDAKAN – Sebanyak 170 premis bazar Ramadan di daerah ini diperiksa sepanjang penguatkuasaan Ops Bazar Ramadan yang dijalankan bermula 23 Februari 2026 hingga 28 Februari 2026.
Pegawai Kesihatan Kawasan Sandakan, Dr Jackson Wong berkata, daripada jumlah pemeriksaan itu, sebanyak lapan notis telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.
“Operasi tersebut melibatkan seramai 50 orang penguat kuasa Pejabat Kesihatan Kawasan Sandakan yang digerakkan secara berperingkat bagi memastikan pemantauan dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan berkesan.
“Antara kesalahan yang dikesan termasuk tidak mendapatkan vaksinasi anti tifoid daripada pengamal perubatan berdaftar mengikut Peraturan 31(1), dengan satu notis dikeluarkan terhadap pengendali makanan terlibat.
“Tiga notis pula dikeluarkan kerana tidak memakai pakaian pelindung diri seperti apron dan kasut sebagaimana diperuntukkan di bawah Peraturan 32(1)(b).
“Manakala tiga lagi notis melibatkan kesalahan menyimpan kuku panjang dan kotor semasa mengendalikan makanan mengikut Peraturan 33(1)(a) manakala satu lagi notis dikeluarkan kepada pemilik premis makanan yang menyimpan daging dingin untuk jualan pada suhu di luar julat ditetapkan iaitu antara -1°C hingga 10°C mengikut Peraturan 41(1)(a),” ujarnya ketika ditemui media Ops Bazar Ramadan di Bazar Ramadan Bataras, Sandakan, di sini, pada Selasa.

Tambah Jackson, pengeluaran notis di bawah Seksyen 32B Akta Makanan pada minggu pertama operasi itu adalah sama seperti tempoh sama tahun lalu iaitu sebanyak lapan notis.
“Pemeriksaan bazar ini masih diteruskan dan diharap semua pengendali makanan tidak leka serta lalai dalam menjaga kebersihan dan keselamatan makanan yang dijual kepada orang awam.
‘”Penguatkuasaan undang-undang di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 akan terus dipergiatkan bagi memastikan tahap keselamatan makanan sentiasa berada pada tahap memuaskan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Jackson berkata, Pejabat Kesihatan Kawasan Sandakan dengan kerjasama Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) telah mengadakan taklimat awal pada 10 hingga 12 Februari 2026 kepada semua peniaga Bazaar Ramadan berhubung tanggungjawab mematuhi peraturan ketika menjalankan perniagaan.
“Justeru, tiada alasan untuk tidak mematuhi peraturan dan tindakan notis kompaun akan terus dikenakan terhadap pengendali makanan yang ingkar.
“Keselamatan makanan bukan sahaja tanggungjawab pihak berkuasa, tetapi juga memerlukan kerjasama peniaga dan pengguna.
“Peniaga disaran sentiasa mengutamakan kebersihan serta mematuhi semua keperluan perundangan yang ditetapkan, manakala pengguna digalakkan memilih gerai yang bersih dan memastikan makanan dilindungi daripada pencemaran serta disimpan dengan selamat selepas pembelian,” katanya.






