PUTRAJAYA – Umat Islam diseru agar bertenang, tidak terperangkap dengan provokasi serta menangani isu kes pelajar Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) memijak al-Quran secara berhemah, berlandaskan kebijaksanaan, kesabaran dan saluran undang-undang.
Timbalan Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH), Hasri Harun berpendapat, tindak balas yang emosional dan melampaui batas hanya akan merugikan semua pihak di samping kebebasan bersuara tidak boleh dijadikan alasan untuk menghina agama dan mencetuskan kebencian.
“Hormatilah kesucian agama dan nilai kemanusiaan demi keamanan, keharmonian dan masa depan negara yang sejahtera. WADAH menyeru semua pihak rakyat, pemimpin masyarakat, media dan penggiat media sosial agar bertanggungjawab dalam menyampaikan maklumat.
“Jangan menyebarkan kandungan yang boleh mengapi-apikan sentimen, serta bersama-sama memelihara keharmonian dan perpaduan negara,” katanya menerusi kenyataan kepada The Malaysia Press (TMP), pada Ahad.
Dalam pada itu, Hasri berkata, pendidikan berteraskan kefahaman agama, literasi antara agama, serta dialog disifatkan penting dalam membina bagi memupuk sikap saling menghormati dan menolak budaya kebencian.
Katanya, keperluan juga tindakan sewajarnya diambil terhadap individu yang melanggar isu 3R (agama, kaum dan Raja), selaras dengan peruntukan undang-undang sedia ada bagi menjamin keadilan dan ketenteraman awam.
“WADAH mengutuk keras sebarang bentuk penghinaan terhadap mana-mana agama, khususnya Islam. Tindakan memijak al-Quran adalah satu bentuk kebencian beragama (religious hatred) yang tidak boleh diterima dalam masyarakat bertamadun.
“Kita mengecam sekeras-kerasnya perbuatan menghina Islam melalui tindakan memijak al-Quran yang tular baru-baru ini. Perbuatan ini merupakan satu provokasi keji yang mencederakan kesucian agama Islam, melukai perasaan umat Islam, serta berpotensi menggugat keharmonian dan ketenteraman awam dalam masyarakat majmuk negara ini,” katanya.
Tambahnya, al-Quran adalah kitab suci umat Islam yang dimuliakan, menjadi sumber petunjuk, nilai, dan akhlak bagi lebih satu bilion umat Islam di seluruh dunia.
“Tindakan menghina al-Quran bukan sahaja mencerminkan sikap tidak bertanggungjawab dan kebencian beragama, malah bertentangan dengan prinsip saling menghormati yang menjadi asas perpaduan nasional,” katanya.
Terdahulu, tular di media sosial apabila seorang pengguna Threads didakwa memuat naik gambar memijak al-Quran.
Individu berkenaan yang didakwa merupakan pelajar Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) kemudiannya tampil memohon maaf atas tindakannya memuat naik gambar tersebut.
Penahanan turut dilakukan susulan satu laporan polis yang dibuat oleh bapanya pada awal pagi Rabu lalu selepas menyedari hantaran berkenaan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.
Suspek direman selama empat hari bermula Rabu dan disambung semula sehingga Selasa depan.






