
ARSENAL bersedia mengaktifkan pilihan pembelian Piero Hincapie dari Bayer Leverkusen selepas pertahanan Ecuador itu mempamerkan aksi konsisten di Stadium Emirates musim ini.
The Gunners mendapatkan pemain berusia 24 tahun itu secara pinjaman pada hari terakhir perpindahan 1 September lalu dalam perjanjian bernilai 5.2 juta pound (RM27.3 juta), dengan pilihan pembelian tetap 45 juta pound (RM236.4 juta) pada akhir musim.
Walaupun kelab secara rasmi belum mengumumkan keputusan muktamad, sumber dalaman mengesahkan Mikel Arteta cukup berpuas hati dengan perkembangan Hincapie sejak tiba di London utara.
“Piero menyesuaikan diri dengan sangat baik bersama skuad dan kelab secara keseluruhan. Barisan kejurulatihan amat gembira dengannya dan prestasinya semakin meningkat,” menurut sumber berkenaan.
Hincapie pada awalnya mengambil masa untuk mencapai tahap kecergasan terbaik susulan kecederaan pangkal paha yang menangguhkan penampilan pertamanya sehingga Oktober.
Namun sejak itu, dia merekodkan 15 kesebelasan utama dan paling mencuri tumpuan apabila dipilih beraksi di posisi bek kiri dalam aksi derbi menentang Tottenham, mengatasi Ricardo Calafiori dan Myles Lewis-Skelly.
Fleksibiliti menjadi kekuatan utamanya – mampu beraksi sebagai pertahanan tengah atau tepi – faktor yang amat dihargai Arteta.
Pilihan pembelian kini dilihat satu pelaburan bijak dan Arsenal tidak teragak-agak menjadikannya pembelian utama pertama pada jendela perpindahan musim panas nanti.




