
KUALA LUMPUR – Tiada sebarang laporan kerosakan melibatkan aset di bawah Kementerian Kerja Raya (KKR) termasuk jalan raya susulan gempa bumi kuat berukuran magnitud 6.8 yang melanda Sabah, kelmarin.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kementeriannya sentiasa memantau sebarang kejadian gempa bumi bagi memastikan keselamatan infrastruktur awam berada pada tahap terkawal.
“Setakat ini, Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah memaklumkan, tiada laporan berkaitan aset di bawah KKR seperti jalan dan sebagainya yang rosak akibat gempa bumi.
“Kita sentiasa memantau sebarang kejadian gempa bumi yang berlaku,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Construction Action Plan 2026-2030 (CAP30) di CIDB 520 The MET Corporate Towers, pada Selasa.
Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha, Sektor Pengurusan KKR, Datuk Zainal Alhakab Seman dan Pengerusi Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) Malaysia, Datuk Yusuf Abd Wahab.
Dalam pada itu, selain pemantauan berterusan, Nanta Linggi memaklumkan, Malaysia telah mengadaptasi piawaian reka bentuk struktur tahan gempa bertaraf antarabangsa bagi memastikan bangunan di negara ini lebih berdaya tahan terhadap kesan gegaran bumi.
“Malaysia mengguna pakai Lampiran Kebangsaan Malaysia kepada Eurokod 8 (MS EN 1998-1:2015) yang meliputi reka bentuk struktur bagi ketahanan terhadap gempa bumi. Piawaian ini dilaksanakan pada penghujung 2017.
“Piawaian tersebut kemudiannya dimasukkan ke dalam Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam (UBBL) melalui pindaan yang diwartakan pada 31 Disember 2021, sekali gus menjadikan reka bentuk seismik sebagai keperluan mandatori bagi struktur baharu yang berkaitan,” katanya.
Pada Isnin, penduduk di sekitar Pantai Barat Sabah dikejutkan dengan gegaran kuat kira-kira 10 saat susulan gempa bumi bermagnitud 6.8 berlaku di perairan Kota Kinabalu, awal pagi semalam.
Gegaran dilaporkan dirasai di sekitar Kota Kinabalu, Penampang dan beberapa daerah lain di Pantai Barat, selain turut dirasai di beberapa kawasan di Sarawak.
Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) memaklumkan gempa berkenaan berlaku pada jam 12.57 pagi dengan koordinat 7.0 darjah Utara dan 116.4 darjah Timur, kira-kira 49 kilometer (km) barat dari Kudat pada ke-dalaman 678 kilometer (km).






