Tiada keperluan RCI siasat skandal dokumen palsu pemain naturalisasi, siasatan bebas masih berjalan

KUALA LUMPUR – Tiada keperluan pada masa ini untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat sepenuhnya skandal membabitkan dokumen palsu pemain naturalisasi yang dikemukakan Persatuan Bolasepak

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ia mengambil kira proses perundangan serta siasatan oleh pihak berkuasa yang berkenaan masih berjalan.

Namun, katanya, jika pada masa hadapan wujud keperluan munasabah untuk penubuhan RCI, perkara itu tertakluk kepada bidang kuasa Kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Perdana Menteri (JPM), selaras peruntukan Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119).

“Isu berkaitan dakwaan pemalsuan dokumen pemain naturalisasi oleh FAM sudah pun diambil tindakan melalui proses siasatan bebas dan perundangan yang sedang berjalan. FAM telah menubuhkan satu Jawatankuasa Siasatan Bebas yang dipengerusikan oleh bekas Ketua Hakim Negara bagi meneliti perkara itu secara menyeluruh

“Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut menjalankan siasatan awal terhadap dakwaan itu. Bagaimanapun, hasil siasatan mendapati isu dibangkitkan lebih bersifat teknikal serta tidak mempunyai asas kesalahan di bawah Akta SPRM 2009.

“Selain itu, FAM juga mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS). Pada masa sama, perkara berkenaan masih dalam siasatan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya menerusi jawapan bertulis di laman web Parlimen.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen PN Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengenai penubuhan RCI itu, selain kesediaan kerajaan untuk meneliti kemungkinan wujud unsur rasuah, salah guna kuasa atau campur tangan politik dalam isu berkenaan.

Sementara itu, menjawab pertanyaan Ahli Parlimen PN Kangar, Zakri Hassan mengenai status kewarganegaraan tujuh pemain terpalit isu pemalsuan dokumen itu, Saifuddin menegaskan pemberian taraf kewarganegaraan Malaysia dan status kelayakan mewakili negara di bawah Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) adalah dua perkara berbeza.

Beliau berkata, terma seperti ‘pemain warisan’ atau ‘eligibility to play’ adalah mengikut peruntukan FIFA statutes, khususnya Article 6 dan 7, serta tidak menentukan kelayakan kewarganegaraan menurut undang-undang Malaysia.

“Sehubungan itu, berkenaan taraf kewarganegaraan pemain-pemain berkenaan, ia diberikan mengikut lunas undang-undang dan syarat-syarat ditetapkan dalam Perlembagaan Persekutuan dan Kaedah-Kaedah Kewarganegaraan 1964.

“Permohonan kewarganegaraan tujuh pemain terbabit diluluskan di bawah Perkara 19 Perlembagaan Persekutuan, iaitu peruntukan berkaitan naturalisasi,” katanya

Di bawah Perkara 19, katanya, seseorang warga asing boleh diberikan taraf kewarganegaraan secara naturalisasi setelah memenuhi syarat ditetapkan, iaitu tempoh pemastautinan, kelakuan baik dan tahap penguasaan bahasa Melayu yang memadai.

“Perkara 19 tidak mensyaratkan sebarang dokumen berkaitan hubungan kekeluargaan, termasuk sijil kelahiran datuk atau nenek, sebagai asas pertimbangan permohonan naturalisasi.

“Isu yang dibangkitkan mengenai pemain-pemain ini adalah berkaitan dakwaan pemalsuan dokumen kelahiran datuk atau nenek mereka bagi membolehkan pendaftaran sebagai pemain warisan di bawah peruntukan FIFA statutes,” katanya.

Related Posts

Kerajaan sedia tambah STR, SARA jika ekonomi terus kukuh – PM

IPOH – Kerajaan MADANI bersedia meningkatkan kadar bantuan kepada rakyat menerusi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sekiranya kedudukan ekonomi negara terus mengukuh serta kewangan kerajaan mengizinkan.…

Lebih lanjut

teruskan membaca
KKR, Sabah dan Sarawak meterai MoU tubuh Makmal MyBIM Malaysia

KOTA KINABALU – Kementerian Kerja Raya (KKR) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah dan JKR Sarawak bagi penubuhan Makmal MyBIM Malaysia sebagai langkah memperluaskan penggunaan teknologi…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

‘Pujuk macam mana pun, PDM BN DUN Klawang tetap ditutup’

‘Pujuk macam mana pun, PDM BN DUN Klawang tetap ditutup’

Kerajaan sedia tambah STR, SARA jika ekonomi terus kukuh – PM

Kerajaan sedia tambah STR, SARA jika ekonomi terus kukuh – PM

Sabah sertai Deklarasi Data Aset Jalan, rekod lebih 20,000 kilometer jalan negeri

Sabah sertai Deklarasi Data Aset Jalan, rekod lebih 20,000 kilometer jalan negeri

Pengguna dakwa laman sosial Facebook gagal diakses

Pengguna dakwa laman sosial Facebook gagal diakses

KKR perkasa pendigitalan sektor pembinaan menerusi Program Kolaborasi Strategik 2026

KKR perkasa pendigitalan sektor pembinaan menerusi Program Kolaborasi Strategik 2026

KKR, Sabah dan Sarawak meterai MoU tubuh Makmal MyBIM Malaysia

KKR, Sabah dan Sarawak meterai MoU tubuh Makmal MyBIM Malaysia