Ahmad Samsuri dilantik Pengerusi PN baharu

KUALA LUMPUR – Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang juga Menteri Besar Terengganu, dilantik sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang baharu.

Perkara itu disahkan melalui kenyataan bersama oleh empat presiden parti komponen gabungan berkenaan selepas Mesyuarat Luar Biasa Majlis Tertinggi PN di ibu pejabat Pas, pada petang Ahad.

Mereka ialah Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang; Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau; dan Presiden Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), P Punithan.

Menurut kenyataan itu, mesyuarat berkenaan sebulat suara melantik Ahmad Samsuri sebagai Pengerusi baharu PN, berkuat kuasa serta-merta.

“Adalah dimaklumkan mesyuarat meluluskan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi PN, berkuat kuasa 1 Januari 2026.

“Perkara-perkara lain akan dibawa untuk dibincang serta diputuskan dalam mesyuarat MT PN yang akan datang,” menurut kenyataan itu yang dibacakan oleh Timbalan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Selain empat presiden parti komponen, turut tersenarai hadir mesyuarat pada Ahad ialah Ketua Wanita PN, Datuk Mas Ermieyati Samsudin; Ketua Pemuda PN, Afnan Hamimi Taib Azamudden; serta Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Barisan Ahli MT PN yang hadir ialah Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, Oh Tong Keong, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, Datuk Idris Ahmad, Wong Chia Zhen, S Subramaniam serta K Sivakumar.

Sementara itu, Dominic ketika ditemui media selepas selesai mesyuarat berkenaan berkata, pelantikan Ahmad Samsuri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ru Rendang itu dipersetujui empat presiden parti komponen serta ahli MT PN.

Menurut beliau, cadangan pelantikan Ahmad Samsuri itu dilakukan oleh Abdul Hadi.

“(Pelantikan Ahmad Samsuri) berkuat kuasa hari ini sebab kita pun sudah menerima peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin sebagai Pengerusi PN hari ini.

“(Penerimaan Ahmad Samsuri juga disebabkan) Pas adalah sebuah parti yang terbesar sekali di Malaysia dan ada 43 Ahli Parlimen.

“Kita berharap sokongan semua lapisan rakyat, pelbagai kaum dan agama akan terus menyokong PN,” katanya.

Mengenai kedudukan Ketua Pembangkang pula, Dominic berkata, ia akan dibincangkan oleh pemimpin PN serta Ahli-ahli Parlimen PN yang lain selepas ini.

Dalam pada itu, dalam mesyuarat yang berlangsung itu juga, beliau memaklumkan, perbincangan untuk meminda Perlembagaan gabungan turut diadakan bagi menguatkan Majlis Presiden PN.

“Pindaan perlembagaan adalah penting kerana kita berasakan mahu menguatkan Majlis Presiden PN.

“Sebuah jawatankuasa akan ditubuhkan oleh PN dan mereka diberikan tempoh dua bulan untuk memuktamadkan perkara itu serta membentangkan kepada Majlis Tertinggi dan juga Majlis Presiden untuk mendapatkan pengesahan, sebelum dikemukakan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS),” katanya. 

Pada 30 Disember 2025, Muhyiddin mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Pengerusi PN, berkuat kuasa 1 Januari lalu, selepas mengetuai gabungan itu sejak 7 Ogos 2020.

Related Posts

Hayati semangat Aidiladha, dua beradik pilih sertai sukarelawan korban

DUA gadis manis dari Semenyih memilih kelainan menyambut Hari Raya Aidiladha dengan menyertai sukarelawan korban di Ladang Ternakan Saville Fresh di sini, bagi merasai sendiri pengalaman menguruskan ibadah korban. Pasangan…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Permintaan korban cecah RM350 juta cerminan ekonomi domestik masih kukuh

PERMINTAAN ibadah korban yang dianggarkan mencecah RM350 juta tahun ini dilihat sebagai petunjuk positif terhadap kekuatan permintaan domestik negara selain mencerminkan kemampuan rakyat dalam melaksanakan tuntutan agama walaupun dunia berdepan…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Sabah perlu pakar perkembangan pediatrik bantu kanak-kanak autisme

  • By Ynom
  • May 27, 2026
Sabah perlu pakar perkembangan pediatrik bantu kanak-kanak autisme

Hayati semangat Aidiladha, dua beradik pilih sertai sukarelawan korban

Hayati semangat Aidiladha, dua beradik pilih sertai sukarelawan korban

Siti Asmah jadi jambatan komunikasi, pemangkin masyarakat inklusif

Siti Asmah jadi jambatan komunikasi, pemangkin masyarakat inklusif

Budaya tohmah, fitnah wabak sosial perlu dihapus

Budaya tohmah, fitnah wabak sosial perlu dihapus

Permintaan korban cecah RM350 juta cerminan ekonomi domestik masih kukuh

Permintaan korban cecah RM350 juta cerminan ekonomi domestik masih kukuh

Pasukan takraw Malaysia kini kembali mengaum di dunia sukan

Pasukan takraw Malaysia kini kembali mengaum di dunia sukan