
KOTA BELUD – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick, hari ini meluangkan masa menziarahi mangsa kebakaran di Kampung Melangkap Kapa yang mengakibatkan 10 rumah musnah sepenuhnya manakala empat lagi rosak sebahagian struktur.
Ewon yang juga Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan berkata, keutamaan kini adalah memastikan semua keluarga terjejas mendapat perlindungan dan bantuan segera.
“Dalam ketiadaan saya di kawasan kerana tugas rasmi kementerian, saya sentiasa meminta urusetia Pusat Khidmat dan UPPM Kadamaian membantu mangsa bencana seperti ini dengan kadar segera.

“Saya turut berdukacita atas kejadian ini dan berharap semua keluarga diberikan kekuatan serta dipermudahkan urusan. Saya juga akan membantu mempermudahkan bantuan yang layak diterima daripada kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini, di sini pada Sabtu.
Menurut Ewon, Pusat Khidmat ADUN Kadamaian akan menyalurkan bantuan keperluan segera termasuk sokongan logistik dan pengangkutan bagi tujuan pemindahan mangsa ke PPS.
Tambahnya, kerjasama antara pejabat daerah, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta agensi berkaitan amat penting bagi memastikan penyelarasan bantuan berjalan lancar dan tiada mangsa tercicir daripada menerima sokongan sewajarnya.
Turut mengiringi lawatan itu ialah Pegawai Daerah Kota Belud, Peter Jiton serta urusetia Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Kadamaian.






