
KOTA KINABALU – Kementerian Perdagagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melaksanakan Ops Pantau 2026 bermula 19 Februari hingga 20 Mac ini bersempena bulan Ramadan dan persiapan sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, operasi itu memberi tumpuan kepada pemeriksaan dan pemantauan lebih kerap serta bersasar bagi memastikan bekalan mencukupi dan harga barangan terkawal.
“Skop pelaksanaan Ops Pantau akan memberi tumpuan kepada pemeriksaan bekalan dan harga barangan yang menjadi keutamaan rakyat sepanjang Ramadan dan Aidilfitri, termasuk gula, ayam, telur ayam, minyak masak, tepung gandum, barang basah serta barangan membuat kuih-muih.
“Langkah ini bagi memastikan semua barangan mempunyai tanda harga, tiada unsur pencatutan dan barangan kawalan dijual mengikut harga yang diwartakan kerajaan, termasuk di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Aidilfitri 2026,” katanya dalam kenyataan media, pada Ahad.
Dalam pada itu, beliau berkata, pemantauan turut melibatkan premis yang mengadakan jualan murah bagi mengelakkan iklan mengelirukan pengguna.
“Pemeriksaan akan dijalankan di bazar Ramadan dan bazar Aidilfitri bagi membanteras penjualan barangan tiruan serta memastikan peniaga mematuhi perundangan sedia ada.
“KPDN juga akan memantau penjualan secara dalam talian yang didapati bertentangan dengan undang-undang,” jelasnnya.

Tambahnya lagi, pegawai penguatkuasa KPDN di seluruh negara akan ditempatkan di lokasi strategik dan kawasan tumpuan seperti bazar Ramadan, bazar Aidilfitri, pasar awam, pasar basah, pasar pagi, pasar malam, pasar tani, pasar raya besar, pasar raya, pasar mini, kedai runcit serta platform dalam talian.
“KPDN turut menjalinkan kerjasama dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi memastikan peniaga di bazar mematuhi undang-undang sepanjang tempoh pelaksanaan operasi ini.
“Mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan akan dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723),” ujarnya.
Tegasnya, kesalahan gagal meletakkan tanda harga boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 atau kompaun sehingga RM25,000 bagi individu, manakala syarikat boleh didenda sehingga RM100,000 atau dikompaun sehingga RM50,000.
“Bagi kesalahan menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum, individu boleh didenda sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, atau dikompaun sehingga RM50,000.
“Syarikat pula boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000.
“Kesalahan gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal pula memperuntukkan denda sehingga RM10,000 atau kompaun sehingga RM5,000 bagi individu, manakala syarikat boleh didenda sehingga RM20,000 atau dikompaun sehingga RM10,000,” jelasnya.
Sebagai rekod, Ops Pantau 2025 mencatatkan 70,906 pemeriksaan di seluruh negara dengan 390 kes dihasilkan serta nilai rampasan berjumlah RM42,878.52.
Sementara itu, pihaknya turut mengingatkan orang ramai diminta menyalurkan maklumat berkaitan salah laku peniaga melalui WhatsApp 019-848 8000, Call Centre 1-800-886-800, e-mel e-aduan@kpdn.gov.my atau aplikasi Ez ADU KPDN.
“KPDN menghargai kerjasama orang ramai sebagai sebahagian daripada gerakan massa di bawah kempen KITA GEMPUR bagi memastikan hak pengguna terus terpelihara,” katanya.





