
KOTA KINABALU – Lampoopalooza 2026 kembali menerangi Gaya Stree, sekali gus memperkukuh momentum Sabah ke arah kempen Visit Sabah 2027.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, penganjuran Lampoopalooza bukan sekadar meraikan kreativiti seni pencahayaan, sebaliknya menjadi platform tahunan mengaktifkan ruang bandar dengan pengalaman urban yang segar dan interaktif.
“Saya berasa bangga dapat merasmikan program ini. Kita dapat melihat bagaimana persembahan lampu 3D dimainkan khusus untuk warga Kota Kinabalu, dengan pencahayaan kreatif terutama di bangunan ikonik pejabat STB.
“Program seperti ini melengkapi tarikan alam semula jadi dan kebudayaan Sabah dengan pengalaman bandar yang kontemporari dan interaktif,” katanya semasa sidang media selepas merasmikan Lampoopalooza 2026, pada Sabtu.
Tambah Jafry, penganjuran tahun ini selari dengan persediaan Sabah menghadapi Tahun Melawat Malaysia serta inisiatif menuju Visit Sabah 2027.
“Kita mahu program seperti Lampoopalooza terus berkembang, menjadi lebih besar, lebih cerah dan lebih berimpak pada tahun hadapan.
“Sabah mempunyai daya tarikan tersendiri dengan keindahan alam semula jadi yang menakjubkan, termasuk keunikan dasar laut yang menjadi tumpuan pelancong, selain kepelbagaian budaya dan etnik yang kaya.
“Semua ini merupakan kekuatan utama untuk menarik lebih ramai pelancong domestik dan antarabangsa ke negeri ini,” katanya.
Pada program, orang ramai disajikan dengan persembahan ‘projection mapping’ yang dipancarkan ke fasad bangunan bersejarah STB serta bangunan sekitarnya, menampilkan visual dinamik yang menggambarkan keunikan Sabah sebagai negeri kaya dengan khazanah alam semula jadi, lautan dan gunung-ganang.
Acara itu turut dimeriahkan persembahan artis tempatan termasuk Isobahtos, Eylia Guntabid, Ryenald Guntabid, Masmona serta DJ Tony Starr yang menambah kemeriahan suasana malam minggu di pusat bandar raya ini.
Lampoopalooza merupakan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) STB dengan penglibatan artis tempatan yang menggunakan bahan lestari bagi menghasilkan dekorasi dan instalasi seni festival sebelum disumbangkan semula kepada komuniti untuk kegunaan seterusnya.
Turut hadir, Pengerusi STB merangkap Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Joniston Bangkuai; dan Ketua Pegawai Eksekutif STB, Julinus Jeffery Jimit.







