Modi adakan lawatan dua hari ke Malaysia

PERDANA Menteri India, Narendra Modi, hari ini memulakan lawatan rasmi selama dua hari ke Malaysia atas undangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam usaha memperkukuh hubungan dua hala antara kedua-dua negara.

Ketibaan Modi bersama delegasinya di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 4.40 petang disambut oleh Anwar, diiringi Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan selaku menteri pengiring.

Sejurus tiba, Modi memeriksa kawalan kehormatan yang terdiri daripada dua pegawai dan 26 anggota Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja, diketuai Kapten Mohd Afiq Aiman Mohd Zulkifli.

Ketibaan beliau turut diserikan dengan kibaran Jalur Gemilang dan bendera India oleh seramai 100 pelajar dari Kolej Tunku Kurshiah, Sekolah Menengah Sains Banting serta Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Bandar Baru Salak Tinggi.

Majlis sambutan turut menampilkan persembahan kebudayaan yang mencerminkan kepelbagaian masyarakat Malaysia. Acara dimulakan dengan tiupan tetuang, diikuti paluan gendang MADANI yang menggabungkan jidor, gendang Cina dan dhol, menampilkan 12 pemuzik daripada pelbagai latar etnik sebagai simbol keharmonian serta kekayaan budaya negara.

Suasana sambutan diperkaya dengan persembahan 40 tarian oleh penari Artistana Istana Budaya yang mengenakan kostum bertemakan kepelbagaian kaum dan menampilkan gerak tari berunsur koreografi.

Selesai majlis sambutan, Modi menaiki kenderaan bersama Anwar menuju ke Pusat Konvensyen dan Pameran Antarabangsa Mines.

Lawatan ini merupakan kunjungan balas kepada lawatan rasmi Anwar ke India pada Ogos 2024, selain menjadi lawatan ketiga Modi ke Malaysia dan yang pertama sejak hubungan dua hala kedua-dua negara dinaik taraf kepada Perkongsian Strategik Komprehensif pada Ogos 2024.

Lawatan berkenaan dijangka memperkukuh hubungan dua hala serta memperluas kerjasama dalam pelbagai bidang kepentingan bersama, berteraskan hubungan persahabatan yang terjalin sejak penubuhan hubungan diplomatik antara Malaysia dan India pada 1957.

Menurut Kementerian Luar, Modi dijadual mengadakan perbincangan dua hala dengan Anwar esok, dengan kedua-dua pemimpin dijangka menilai pelaksanaan Perkongsian Strategik Komprehensif serta merangka hala tuju baharu kerjasama masa hadapan.

Perbincangan tersebut dijangka memberi tumpuan kepada kerjasama dalam bidang perdagangan dan pelaburan, pertahanan dan keselamatan, tenaga kerja, pelancongan, kesalinghubungan, pertanian serta pendidikan, selain isu serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama.

Susulan pertemuan itu, kedua-dua pemimpin dijadual menyaksikan pertukaran pelbagai perjanjian dan dokumen kerjasama yang mencerminkan pengukuhan hubungan institusi antara kedua-dua negara.

Antara dokumen yang dijangka dimeterai termasuk Memorandum Persefahaman (MoU) berkaitan usaha membanteras dan mencegah rasuah, piawaian latihan, pensijilan dan pengawasan pelaut serta pengurusan bencana.

Selain itu, perjanjian berkaitan penerbitan audio visual, Memorandum Kerjasama dalam bidang tenaga kerja serta Pertukaran Nota melibatkan sektor semikonduktor, kesihatan, keselamatan negara serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) turut dijangka dimuktamadkan.

Kedua-dua pemimpin juga akan menyaksikan Pertukaran Surat berkaitan kerjasama pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), selain penyerahan Perjanjian Rangka Kerja International Big Cat Alliance.

Malaysia dan India berkongsi hubungan sejarah, tamadun dan budaya yang panjang, disokong oleh kira-kira 2.9 juta komuniti diaspora India di Malaysia, yang merupakan komuniti India ketiga terbesar di dunia.

Hubungan ekonomi dua hala terus mencatat prestasi memberangsangkan, dengan jumlah perdagangan Malaysia–India mencecah RM79.49 bilion (AS$18.59 bilion) pada 2025.

Daripada jumlah itu, eksport Malaysia ke India bernilai RM52.3 bilion (AS$12.24 bilion), manakala import dari India berjumlah RM27.19 bilion (AS$6.35 bilion).

Eksport utama Malaysia merangkumi minyak sawit dan produk pertanian berasaskan sawit serta produk elektrik dan elektronik, manakala import dari India terdiri daripada produk pertanian, petroleum dan kimia.

Related Posts

MTEN perkukuh persediaan negara berdepan El Nino

KUALA LUMPUR – Usaha meningkatkan tahap kesiapsiagaan komuniti dalam menghadapi fenomena El Nino perlu diberi keutamaan kerana tindakan pencegahan dan persediaan rapi mampu mengurangkan impak cuaca ekstrem yang semakin sukar…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Malaysia, Turkmenistan perluas kerjasama strategik bagi jamin bekalan tenaga

KUALA LUMPUR – Malaysia terus mempergiat usaha memperkukuh keselamatan tenaga negara melalui beberapa kerjasama strategik di peringkat antarabangsa, termasuk perjanjian hidrokarbon jangka panjang dengan Turkmenistan yang dijangka dimeterai pada 19…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

MTEN perkukuh persediaan negara berdepan El Nino

MTEN perkukuh persediaan negara berdepan El Nino

SBST Sabah terima reaksi positif pelbagai pihak – Vivian

SBST Sabah terima reaksi positif pelbagai pihak – Vivian

Malaysia, Turkmenistan perluas kerjasama strategik bagi jamin bekalan tenaga

Malaysia, Turkmenistan perluas kerjasama strategik bagi jamin bekalan tenaga

Jabatan Pertanian Perak perkasa wanita dalam sektor pertanian

Jabatan Pertanian Perak perkasa wanita dalam sektor pertanian

KDN tegaskan DPP bukan laluan peroleh kewarganegaraan atau PR

KDN tegaskan DPP bukan laluan peroleh kewarganegaraan atau PR

Perikatan Nasional kini jadi rebutan Pas dan Bersatu

Perikatan Nasional kini jadi rebutan Pas dan Bersatu