
SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah menurunkan sebanyak 1,493 kandungan berkaitan isu agama, raja dan kaum (3R) hasil pemantauan berterusan dengan kerjasama pengendali platform digital global, susulan ribuan aduan yang diterima sepanjang tempoh lebih setahun lalu.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, tindakan itu diambil sebagai respons terhadap 2,486 aduan yang dikemukakan bagi memohon penurunan kandungan sensitif bagi tempoh 1 Januari 2025 hingga 31 Januari 2026.
Beliau berkata, meskipun Mahkamah Persekutuan baru-baru ini memutuskan bahawa rakyat mempunyai hak untuk bersuara, kebebasan tersebut tidak bersifat mutlak dan tidak boleh disalahgunakan sehingga membawa kepada fitnah atau provokasi melampau, khususnya yang menyentuh sensitiviti 3R.
“Keputusan Mahkamah Persekutuan menunjukkan kita ada hak untuk bersuara, tetapi tidak ada hak untuk memfitnah atau mengeluarkan kata-kata bersifat 3R.
“Walaupun kita telah meminda Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), khususnya Seksyen 233(1), yang tidak lagi mengguna pakai perkataan jelik, tetapi (sekarang) menggunakan jelik melampau, masalah ataupun mesej 3R itu masih dianggap satu jenayah dan boleh diambil tindakan,” katanya.
Fahmi berkata demikian ketika ditemui semasa menghadiri Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Parlimen Lembah Pantai di pekarangan Pasar Taman Sri Sentosa, di sini, petang ini.
Menurutnya, mesej berunsur 3R masih diklasifikasikan sebagai satu kesalahan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, khususnya Seksyen 233, dan pesalah boleh dikenakan denda sehingga RM500,000.
Beliau turut menegaskan bahawa MCMC mempunyai keupayaan untuk mengesan individu yang memuat naik atau meninggalkan komen berunsur 3R, termasuk komen yang dibuat bukan pada hantaran asal.
Dalam perkembangan berkaitan, Fahmi berkata, rakyat Malaysia mempunyai hak untuk berhimpun secara aman, namun sebarang perhimpunan tidak dibenarkan sekiranya bertujuan memecah-belahkan masyarakat atau mengganggu gugat keselamatan negara.









