
KUANTAN – Sebanyak 12 Kawasan Berisiko Tinggi (KBT) dikenal pasti sebagai zon masalah penagihan dan pengedaran dadah di Pahang kini telah mencapai status hijau.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pencapaian itu menjadikan Pahang mencapai pengurangan 100 peratus KBT, hasil pelaksanaan berterusan program pengurangan kawasan berisiko tinggi di bawah misi Dadah Terkawal 2025.
“Antara mukim yang berjaya diturunkan status Kawasan Berisiko Rendah (KBR) ialah Mukim Gali, Batu Talam, Dong dan Sega di Raub.
“Mukim Pekan, membabitkan Kuala Pahang dan Pahang Tua di Pekan; Mukim Perak dan Mentakab di Temerloh; Mukim Chenor (Jengka/Sentul) dan Chenor (Jengka/Bandar) di Maran serta Mukim Kuala Kuantan di Kuantan,” katanya, lapor Sinar Harian.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi Bintang Antidadah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Negeri Pahang Tahun 2025 di sini, hari ini.
Turut hadir Ketua Pengarah AADK, Datuk Ruslin Jusoh dan Pengarah AADK Pahang, Zirwatul Ahlam Zamzam.
Wan Rosdy menegaskan, sepanjang tempoh lima tahun lalu, Kerajaan Pahang memberikan sokongan berterusan melalui pelaksanaan Pelan Strategik Pahang Teguh Dadah Terkawal (PTDT) 2021–2025.
Jelas beliau, pelaksanaan pelan tersebut turut diperkukuh menerusi Majlis Tindakan Membanteras Dadah (MTMD) di peringkat daerah dan negeri.
“Keberhasilan ini lahir daripada intervensi menyeluruh meliputi pendidikan pencegahan, rawatan, pemulihan dan penguatkuasaan yang dilakukan secara bersepadu,” katanya.
Bagaimanapun, Wan Rosdy mengingatkan semua pihak agar tidak bersikap selesa dengan pencapaian tersebut kerana perjuangan membanteras dadah adalah amanah berterusan.
“Kita tidak boleh bersikap selesa, apatah lagi alpa. Setiap kelekaan memberi ruang kepada musuh negara ini untuk merosakkan masa depan anak bangsa.
“Saya tidak mahu usaha yang telah berjaya hari ini tergelincir akibat sikap sambil lewa atau kurang iltizam,” tegas beliau lagi.


