Malaysia kini berada di landasan ekonomi lebih kukuh, pelabur semakin yakin

KUALA LUMPUR – Malaysia akan terus berada pada trajektori pertumbuhan positif, dengan ekonomi berdaya tahan dan inklusif jika terus melaksanakan reformasi serta tidak berkompromi dengan integriti.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, negara kini berada pada landasan ekonomi yang lebih kukuh, dengan keyakinan pelabur semakin pulih, mencerminkan pengurusan fiskal yang berdisiplin dan pembaharuan kesungguhan dalam tadbir urus.

Beliau memaklumkan, semua kemajuan dikecapi tidak berlaku secara kebetulan, sebaliknya hasil usaha Kerajaan MADANI memulihkan kepercayaan terhadap kewangan awam, mengembalikan kredibiliti institusi dan menegakkan integriti dalam melaksanakan kuasa.

“Kepercayaan itu sedang dibina semula kerana Kerajaan MADANI mengambil pendirian yang jelas, berprinsip dan tidak berkompromi dalam soal tadbir urus.

“Tiada toleransi terhadap rasuah dan tiada pengecualian bagi mereka yang berpengaruh. Tanpa akauntabiliti, tiada kredibiliti dan tanpa kredibiliti, tiada pertumbuhan yang mampan.

“Ini bukan kempen untuk meraih perhatian atau satu fasa sementara. Ini membuktikan keyakinan berkekalan bergantung kepada kepastian undang-undang terpakai secara adil kepada semua.

“Apabila penguatkuasaan dilaksanakan secara konsisten, kepercayaan dapat dipulihkan dan institusi akan kembali memperoleh kewibawaannya,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Forum Ekonomi Malaysia 2026, pada Khamis.

Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof; Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg dan Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan terus berusaha memperkukuh institusi supaya integriti tidak bergantung kepada individu, sebaliknya berasaskan sistem.

Beliau yang juga Menteri Kewangan menegaskan, peraturan perlu melangkaui individu dan reformasi perlu kekal merentasi kitaran politik.

“Usaha ini sudah mula membuahkan hasil, dengan pelabur memberi maklum balas terhadap konsistensi dan kebolehjangkaan. Hal ini dapat dilihat dalam keputusan pelaburan mereka dan penilaian semula terhadap risiko ekonomi Malaysia.

“Dengan asas yang tersedia, keyakinan mesti diterjemahkan kepada kehidupan yang lebih baik. Tekanan kos sara hidup adalah nyata dan dirasai setiap hari oleh rakyat.

“Inilah sebabnya strategi ekonomi kita menggabungkan disiplin makroekonomi dengan sokongan bersasar bagi melindungi kuasa beli dan memastikan pertumbuhan benar-benar meningkatkan taraf hidup sebenar,” katanya.

Tambahnya, pertumbuhan hanya memberi makna jika ia membuka peluang kepada pendidikan, pekerjaan yang bermaruah, peningkatan mobiliti sosial dan keupayaan merancang masa depan dengan penuh keyakinan.

Perdana Menteri berkata, pendidikan kekal sebagai teras dan dengan reformasi dilaksanakan, ia akan memenuhi keperluan pasaran buruh yang sedang melalui peralihan, melalui pembaharuan kemahiran, kerjaya yang berkembang dan pekerja yang memerlukan sokongan merentasi pelbagai fasa kehidupan.

“Pendidikan hari ini mesti melengkapkan rakyat Malaysia bukan saja dengan ilmu pengetahuan tetapi juga keupayaan menyesuaikan diri, daya tahan dan keyakinan untuk mengharungi perubahan.

“Teknologi menjadikan keperluan ini semakin mendesak. Kecerdasan buatan (AI) sedang membentuk semula dunia pekerjaan dan industri.

“Persoalannya bukan sama ada perubahan akan berlaku tetapi sama ada kita bersedia menghadapinya. Antara teknologi meluaskan peluang atau memperdalam jurang ketidaksamaan, ia bergantung kepada pilihan yang kita buat hari ini,” katanya.

Related Posts

Kos sara hidup, prasarana dijangka jadi keutamaan Belanjawan 2027 – Grace Lee

KOTA KINABALU – Bekalan elektrik yang stabil dan berterusan perlu menjadi keutamaan dalam Belanjawan 2027 bagi menyokong kesejahteraan rakyat serta merancakkan pertumbuhan ekonomi Sabah. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Pasaran buruh terus positif, kadar pengangguran turun kepada 2.9 peratus

PUTRAJAYA – Pasaran buruh negara terus menunjukkan perkembangan positif apabila kadar pengangguran menurun kepada 2.9 peratus pada Ogos 2026 berbanding tiga peratus pada Julai, dengan bilangan penganggur berkurang sebanyak 8,700…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Kos sara hidup, prasarana dijangka jadi keutamaan Belanjawan 2027 – Grace Lee

Kos sara hidup, prasarana dijangka jadi keutamaan Belanjawan 2027 – Grace Lee

Pasaran buruh terus positif, kadar pengangguran turun kepada 2.9 peratus

Pasaran buruh terus positif, kadar pengangguran turun kepada 2.9 peratus

Tiga premis diserbu, KPDN Sandakan sita daun terup tiruan bernilai RM55,079

  • By Ithma
  • October 9, 2026
Tiga premis diserbu, KPDN Sandakan sita daun terup tiruan bernilai RM55,079

Sindiket dadah antarabangsa guna jet peribadi elak kawalan ketat KLIA

Sindiket dadah antarabangsa guna jet peribadi elak kawalan ketat KLIA

Belanjawan 2027 ringankan kos, beban sara hidup masyarakat

Belanjawan 2027 ringankan kos, beban sara hidup masyarakat

Belia Malaysia-Rusia ‘berhubung’ menerusi Paya Besar Global Pulse

Belia Malaysia-Rusia ‘berhubung’ menerusi Paya Besar Global Pulse