
KOTA KINABALU – Seorang Guru Zakat yang berkhidmat di Sekolah Agama Negeri (SAN) Naluyan mendedahkan arwah Zara Qairina Mahathir merupakan seorang murid yang ceria, berdisiplin serta aktif dalam aktiviti kokurikulum sepanjang tempoh persekolahannya.
Saksi yang dikenali sebagai deponen ke-63 memaklumkan bahawa beliau telah dilantik sebagai Guru Zakat oleh Pusat Zakat Sabah sejak 2013 dan bertugas di SAN Naluyan sejak Julai 2023 bagi sesi petang. Beliau mengenali arwah Zara ketika arwah bersekolah di institusi tersebut sekitar tahun 2023 hingga 2024, selain mengajar beberapa subjek agama dan menjadi Guru Kelas Zara ketika arwah berada di Tahun 6.
“Zara dikenali sebagai murid yang ceria, manja, menghormati guru, mudah bergaul dan sering mencari guru sekiranya menghadapi sebarang masalah walaupun kecil.
“Sepanjang tempoh persekolahan arwah di sekolah agama tersebut, Zara tidak mempunyai sebarang rekod disiplin dan tidak pernah menerima aduan serius daripada pelajar lain,” katanya dalam prosiding inkues Mahkamah, di sini pada Selasa.
Tambahnya, dari sudut akademik, arwah tidak pernah gagal dalam subjek yang diajar serta menunjukkan penglibatan aktif dalam pelbagai aktiviti kokurikulum.
Beliau turut mengesahkan arwah Zara pernah menyertai aktiviti bercerita dan mewakili sekolah sehingga ke peringkat daerah dengan latihan yang dibimbing sendiri oleh saksi.
“Perna ada satu insiden yang dikenali sebagai “barcode” di sekolah agama, yang menurut saya hanya berlaku sekali, melibatkan beberapa murid dan telah ditangani melalui teguran serta nasihat tanpa sebarang tindakan disiplin berat,” ujarnya.
Dalam keterangannya, saksi memaklumkan bahawa beliau mengenali ibu arwah melalui penglibatan dalam aktiviti sekolah dan mengesahkan hubungan antara ibu dan arwah adalah rapat.
Katanya, beliau mengetahui tentang kejadian melibatkan arwah melalui rakan dan hanya dimaklumkan mengenai kematian arwah pada keesokan harinya, yang menyebabkan beliau berasa amat sedih dan terkejut.
“Semasa pemeriksaan oleh pihak-pihak, sepanjang arwah berada di sekolah agama, saya tidak pernah melihat sebarang tanda masalah disiplin atau emosi yang membimbangkan,” jelasnya.
Selain memberi keterangan mengenai perwatakan dan prestasi Zara sebagai murid, saksi turut menyatakan bahawa beliau mempunyai hubungan yang rapat dan penuh kasih sayang dengan arwah dan menganggap Zara seperti anak murid yang disayangi.





