Karnival Tahun Baharu Cina perkukuh Miri sebagai destinasi pelancongan budaya

MIRI – Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya merangkap Ahli Parlimen Miri, Chiew Choon Man menegaskan komitmen beliau dalam memperkukuh kedudukan Miri sebagai destinasi pelancongan budaya dan perayaan yang dinamik dengan menyokong sepenuhnya dua karnival besar Tahun Baharu Cina yang dijadual berlangsung di bandar ini pada Februari 2026.

Menurut beliau, penganjuran program komuniti berteraskan perayaan memainkan peranan strategik dalam memperkukuh identiti budaya, merangsang sektor pelancongan Miri, mengembangkan ekonomi tempatan serta mewujudkan peluang pendapatan mampan kepada peniaga tempatan, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta pemain industri kreatif.

Salah satu program utama yang mendapat perhatian ialah ‘Back to the 80’s, Old Street Chinese New Year Market’ yang akan berlangsung dari 13 hingga 16 Februari 2026, bermula jam 4 petang hingga 11 malam di Pasar Krokop 5, Miri.

Acara bertemakan nostalgia ini direka bagi menghidupkan semula suasana meriah pasar jalanan Tahun Baharu Cina sekitar era 1980-an dengan menampilkan kaligrafi tulisan tangan, juadah tradisional perayaan, gerai makanan warisan serta pelbagai elemen budaya interaktif.

Choon Man berkata, program kebudayaan berkonsepkan warisan seperti ini amat penting dalam memelihara khazanah budaya tidak ketara, mengukuhkan pemindahan nilai budaya antara generasi serta menawarkan pengalaman pelancongan autentik kepada penduduk tempatan dan pelawat.

Selain itu, satu lagi program utama yang menerima sokongan penuh beliau ialah Karnival Tahun Kuda 2026, yang dijadual berlangsung dari 5 hingga 14 Februari 2026, bermula jam 5 petang hingga 11 malam di kawasan parkir terbuka Boulevard Shopping Mall, Miri.

Karnival tersebut akan menampilkan lebih 40 hingga 50 gerai yang menawarkan pelbagai makanan istimewa Tahun Baharu Cina, barangan perayaan, kraftangan dan cenderamata, sekali gus memastikan penyertaan pengunjung daripada pelbagai latar belakang.

Lokasi penganjuran turut akan dihias dengan pemasangan tanglung, dekorasi budaya serta reka bentuk pencahayaan bertema yang mewujudkan suasana perayaan yang lebih imersif dan meriah.

Sepanjang tempoh 10 hari penganjuran karnival, pelbagai persembahan kebudayaan Cina bertemakan malam akan dipersembahkan setiap hari bagi menarik lebih ramai pengunjung, menggalakkan kunjungan berulang serta merangsang aktiviti ekonomi setempat secara berterusan.

Choon Man turut menyalurkan sumbangan kewangan bagi menyokong penganjuran persembahan kebudayaan tersebut, sekali gus membantu menjadikan sambutan Tahun Baharu Cina kali ini lebih meriah dan bermakna kepada masyarakat.

Beliau turut menegaskan kerajaan akan terus menyokong penganjuran acara kebudayaan berasaskan komuniti, khususnya yang menggabungkan pemeliharaan warisan dengan inovasi pelancongan.

Tambah beliau, kerjasama strategik antara sektor awam dengan swasta merupakan pemacu utama dalam pembangunan produk pelancongan yang pelbagai, memperkukuh penjenamaan destinasi serta meningkatkan daya saing pelancongan budaya Malaysia.

Menurutnya, inisiatif seumpama ini selaras dengan strategi pemulihan pelancongan negara serta agenda pertumbuhan pelancongan Sarawak.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak penganjur ’Back to the 80’s Market’ dan ’Karnival Tahun Kuda 2026’ atas usaha proaktif mereka dalam mempromosikan warisan budaya, memperkukuh penyertaan komuniti serta mewujudkan platform pelancongan perayaan yang memberi manfaat kepada perniagaan tempatan dan masyarakat secara keseluruhannya.

Beliau menegaskan pejabatnya akan terus bekerjasama rapat dengan pihak penganjur, pemegang taruh serta agensi kerajaan bagi memastikan Miri kekal sebagai destinasi pelancongan yang menarik, dinamik dan kaya dengan nilai budaya.

Related Posts

Lelaki 40 tahun ditahan positif dadah di Kabong

SARATOK – Seorang lelaki tempatan berusia 40 tahun ditahan selepas didapati positif dadah dalam Op Tapis di Ladang Sawit PORIM, Kabong di sini, pada Khamis. Ketua Polis Daerah Saratok, Deputi…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Golongan wanita digalakkan main peranan besar bentuk masa depan sukan negara

KOTA SAMARAHAN – Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Mordi Bimol menegaskan golongan wanita perlu diberi peluang memegang jawatan pembuat keputusan bagi memperkasa sektor sukan negara. Beliau yang juga Ahli Parlimen…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Lelaki 40 tahun ditahan positif dadah di Kabong

Lelaki 40 tahun ditahan positif dadah di Kabong

Golongan wanita digalakkan main peranan besar bentuk masa depan sukan negara

Golongan wanita digalakkan main peranan besar bentuk masa depan sukan negara

WBS perkasa wanita melalui bengkel kemahiran, fokus jana pendapatan dan pembangunan komuniti

WBS perkasa wanita melalui bengkel kemahiran, fokus jana pendapatan dan pembangunan komuniti

Portugal mara ke pusingan 16, kalahkan Croatia 2-1

Portugal mara ke pusingan 16, kalahkan Croatia 2-1

Onn Abu Bakar diharap jadi pemangkin kemajuan pertanian DUN Senggarang

Onn Abu Bakar diharap jadi pemangkin kemajuan pertanian DUN Senggarang

Onn Abu Bakar mampu jadi ‘jambatan’ antara Senggarang dan Parlimen

Onn Abu Bakar mampu jadi ‘jambatan’ antara Senggarang dan Parlimen