
KANGAR – Kerajaan negeri memberi jaminan bekalan air di Perlis masih berada pada tahap terkawal walaupun cuaca panas berterusan sejak kebelakangan ini.
Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah berkata, paras air di empangan utama negeri, iaitu Empangan Timah Tasoh setakat ini masih mencukupi dan belum memasuki tahap kritikal.
“Buat masa sekarang, paras air empangan masih berada dalam keadaan selamat dan belum sampai ke tahap membimbangkan.
“Walaupun sekiranya tiada hujan dalam tempoh sebulan, bekalan air masih mampu ditampung,” katanya di sini hari ini.
Perlis kini berada di musim Angin Timur dengan cuaca panas serta kering dan tidak menerima hujan sejak lebih 30 hari lalu.
Menurut beliau, kerajaan negeri bersama agensi berkaitan sentiasa memantau trend paras air empangan bagi memastikan bekalan kepada pengguna tidak terjejas, khususnya ketika musim panas yang panjang.
Beliau berkata, keperluan air ketika ini meningkat terutama untuk sektor pertanian, khususnya tanaman padi yang memerlukan bekalan air berterusan bagi fasa pembesaran.
“Dalam masa sama, terdapat tanaman tertentu seperti Harumanis yang tidak memerlukan air berlebihan dan memerlukan cuaca kering semasa tempoh pembungaan bagi memastikan hasil buah yang berkualiti.
“Oleh itu, pengurusan air perlu diselaraskan mengikut keperluan semasa,” katanya.
Abu Bakar berkata, kerajaan negeri kini bekerjasama rapat dengan Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia, Lembaga Kemajuan Pertanian Muda dan Jabatan Pertanian Perlis bagi memastikan penyaluran air kepada petani berjalan lancar tanpa menjejaskan bekalan domestik.
Dalam pada itu, beliau turut menyeru orang ramai supaya mengamalkan penjimatan air pada setiap masa dan tidak menunggu sehingga berlaku krisis bekalan.
“Penjimatan air bukan hanya perlu dilakukan ketika musim kemarau, sebaliknya menjadi amalan harian demi mengelakkan pembaziran dan tekanan terhadap sistem bekalan,” katanya.
Beliau menegaskan langkah kesedaran awam terus dipertingkatkan sebagai persediaan awal sekiranya cuaca panas berlarutan lebih lama daripada jangkaan.
Setakat ini, katanya, kerajaan negeri belum perlu melaksanakan sebarang catuan air kerana situasi masih berada dalam keadaan terkawal.







