
MIKEL Arteta mencabar Arsenal supaya membuktikan kekuatan mental mereka selepas kekalahan 2-3 di tangan Manchester United yang kembali menyemarakkan perebutan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL).
Kemenangan di Stadium Emirates awal pagi tadi sepatutnya membolehkan skuad kendaliannya melebarkan jurang tujuh mata di puncak liga, namun Arsenal mensia-siakan peluang untuk mengukuhkan cengkaman dalam perebutan gelaran.
Gol sendiri Lisandro Martinez meletakkan Arsenal di depan sebelum Bryan Mbeumo menyamakan kedudukan lewat babak pertama.
Rembatan jarak jauh Patrick Dorgu menghadiahkan kelebihan kepada United selepas rehat, sebelum Mikel Merino menyudahkan peluang untuk jaringan penyamaan Arsenal di hujung perlawanan.
Namun, beberapa minit selepas Merino menjaringkan gol susulan kesilapan penjaga gol United, Senne Lammens, penyerang Brazil, Matheus Cunha mengejutkan The Gunners dengan rembatan padu dari jarak 25 ela.
Daripada berada dalam posisi selesa di puncak liga, Arsenal kini hanya empat mata di depan Manchester City di tangga kedua dan Aston Villa di tempat ketiga, yang menewaskan Newcastle 2-0 malam tadi.






