
KERAJAAN memutuskan untuk menarik balik Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (RUU PSB) bagi membolehkan penambahbaikan menyeluruh dilakukan dengan mengambil kira pandangan semua pihak sebelum ia dibentangkan semula di Parlimen.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, keputusan itu diambil bagi memastikan rangka undang-undang berkaitan pembaharuan semula bandar lebih adil, tuntas dan bersifat inklusif, khususnya dalam menangani isu yang membabitkan golongan miskin bandar.
Menurut beliau, langkah berkenaan dibuat selepas kerajaan meneliti pelbagai pandangan dan maklum balas yang diterima, termasuk daripada Ahli Parlimen ketika perbahasan di Dewan Rakyat.
“Kerajaan mahu memastikan rang undang-undang berkenaan benar-benar bersifat inklusif dengan memasukkan sebanyak mungkin cadangan yang munasabah ke dalam draf baharu.
“Sehubungan itu, Jemaah Menteri bersetuju supaya draf sedia ada RUU PSB ditarik balik dan diperhalusi melalui pindaan serta penambahan tertentu sebelum dibentangkan semula pada satu tempoh yang akan dimaklumkan kelak,” katanya pada sidang media mingguan di Putrajaya, hari ini.
Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, draf baharu RUU PSB itu akan dikemukakan semula ke Parlimen dalam bentuk yang lebih komprehensif selepas proses penambahbaikan selesai dilaksanakan.
Beliau berkata, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming turut memaklumkan UMNO telah mengemukakan sejumlah cadangan berkaitan RUU berkenaan dan sebahagian besar daripadanya dijangka dimasukkan ke dalam draf baharu.
Menurut Fahmi, langkah itu selari dengan hasrat kerajaan untuk memperkukuh rangka undang-undang pembaharuan semula bandar selepas meneliti maklum balas daripada pelbagai pihak, termasuk Ahli Dewan Rakyat.
Katanya, proses penyediaan draf undang-undang baharu itu akan diteruskan dengan penglibatan Jabatan Peguam Negara bagi memastikan setiap peruntukan diteliti secara menyeluruh dari aspek perundangan.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan draf berkenaan perlu dibentangkan dan dibincangkan terlebih dahulu di peringkat Jemaah Menteri sebelum sebarang keputusan dibuat.
Justeru, beliau berkata proses berkenaan dijangka mengambil sedikit masa sebelum draf baharu RUU PSB dapat dimuktamadkan dan dibawa semula ke Parlimen untuk pertimbangan serta kelulusan.


