
PRESTASI ekonomi Malaysia bagi tahun 2025 menunjukkan kekuatan yang melepasi jangkaan awal, sekali gus memperkukuh asas ekonomi negara menjelang 2026 dalam persekitaran global yang masih mencabar.
Menurut nota penyelidikan terkini TA Securities, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi tahun 2025 diunjurkan pada 4.9 peratus, disokong oleh pemulihan berterusan permintaan domestik serta prestasi eksport yang bertambah baik pada separuh kedua tahun lalu.
Unjuran itu diperkukuhkan oleh data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang menjangkakan pertumbuhan ekonomi mencecah 5.7 peratus pada suku keempat 2025, mencerminkan momentum pertumbuhan yang lebih kukuh menjelang akhir tahun.
Penganalisis TA Securities, Farid Burhanuddin berkata, Bank Negara Malaysia (BNM) mengakui prestasi ekonomi 2025 adalah lebih baik berbanding jangkaan awal walaupun berdepan risiko luaran termasuk ketidaktentuan dasar tarif dan kelembapan sektor teknologi global.
BNM menjelaskan pertumbuhan lebih kukuh pada suku ketiga dan keempat sebahagiannya didorong oleh kesan front-loading eksport serta peningkatan aktiviti ekonomi, yang menunjukkan sebahagian prestasi luar biasa tersebut mungkin bersifat sementara.
Mengulas prospek ekonomi 2026, TA Securities mengunjurkan pertumbuhan antara 4.3 peratus hingga 4.7 peratus, sedikit lebih tinggi berbanding unjuran Kementerian Kewangan (MOF) iaitu 4.0 peratus hingga 4.5 peratus.
Keyakinan terhadap daya tahan ekonomi Malaysia turut disokong oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) yang menaikkan unjuran pertumbuhan KDNK benar negara kepada 4.3 peratus bagi tahun 2026 dan 2027, peningkatan sebanyak 0.3 mata peratusan daripada anggaran sebelumnya.
Dari sudut pemacu pertumbuhan, ekonomi negara dijangka terus disokong oleh permintaan domestik yang berdaya tahan, kemajuan projek berbilang tahun sektor awam dan swasta, kekuatan eksport elektrik dan elektronik (E&E), serta pemulihan berterusan sektor pelancongan.
Seiring dengan itu, BNM pada Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) pada 22 Januari 2026 mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada paras 2.75 peratus, dengan pendirian dasar yang kekal menyokong pertumbuhan dalam persekitaran inflasi terkawal.
TA Securities menjangkakan OPR akan kekal pada paras semasa sepanjang 2026 memandangkan tekanan inflasi kekal sederhana dan tidak menuntut pengetatan dasar monetari.
Dalam pasaran kewangan, Ringgit mencatat pengukuhan dengan purata dagangan RM4.06 berbanding Dolar AS setakat 22 Januari, meningkat 0.5 peratus sejak awal tahun, berbanding purata RM4.28 pada 2025.
Sementara itu, kadar inflasi dijangka kekal sederhana antara 1.5 peratus hingga 2.0 peratus, disokong oleh kestabilan harga komoditi global dan ketiadaan tekanan permintaan berlebihan, sekali gus membantu mengekalkan kuasa beli pengguna.




