
KOTA KINABALU – Pelaksanaan BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel) bukan sahaja bertujuan mengekang aktiviti penyeludupan dan ketirisan subsidi, malah memastikan manfaat subsidi diesel disalurkan secara lebih adil kepada rakyat Malaysia yang layak.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, hasil penjimatan daripada usaha mengurangkan ketirisan itu membolehkan kerajaan menawarkan diesel bersubsidi pada harga RM2.10 seliter mulai 1 Julai 2026, lebih rendah berbanding RM2.15 seliter yang berkuat kuasa ketika ini di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.
“Sebelum ini, subsidi diesel dinikmati secara terbuka tanpa pengesahan identiti pengguna.
“Melalui BUDI Diesel, subsidi kini hanya diberikan kepada rakyat Malaysia yang layak melalui pengesahan MyKad.
“Penjimatan hasil usaha menutup ruang ketirisan dan mengekang penyeludupan membolehkan Kerajaan MADANI menurunkan harga diesel bersubsidi kepada RM2.10 seliter bagi rakyat Malaysia yang layak,” katanya semasa melawat sebuah stesen minyak di Tuaran, Sabah pada Selasa.
Menurutnya, mulai 1 Julai 2026, harga diesel di pam akan ditetapkan pada paras tanpa subsidi dan subsidi kerajaan hanya akan disalurkan kepada rakyat Malaysia yang layak melalui pengesahan MyKad.
“Ini memastikan golongan bukan warganegara dan pihak yang tidak layak tidak lagi menikmati subsidi diesel kerajaan,” jelasnya.
Amir Hamzah berkata, di bawah pembaharuan subsidi diesel, setiap individu yang layak akan menerima had kelayakan asas sebanyak 200 liter sebulan yang boleh digunakan untuk membeli bahan api bersubsidi termasuk RON95 dan diesel.
“Data Kerajaan menunjukkan hampir 90 peratus pemandu di Malaysia menggunakan kurang daripada 200 liter bahan api sebulan. Justeru, had kelayakan asas sebanyak 200 liter ini dijangka mencukupi bagi kebanyakan penerima yang layak,” katanya.
Tambahnya, mengambil kira keadaan di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan yang lebih bergantung kepada penggunaan kenderaan pikap dan jip, pemilik kenderaan kategori itu boleh memohon tambahan 100 liter sebulan menjadikan jumlah kelayakan sehingga 300 liter sebulan.
“Kerajaan turut mengambil kira keperluan kumpulan lain seperti pengusaha bot sungai, pemilik genset di kawasan pedalaman serta individu yang bergantung kepada diesel untuk mata pencarian harian, dengan mekanisme khusus sedang dimuktamadkan bagi memastikan mereka terus menerima bantuan bersesuaian,” kongsinya.
Lawatan ke stesen minyak di Tuaran itu turut disertai Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, bertujuan meninjau kesiapsiagaan menjelang pelaksanaan penuh BUDI Diesel pada 1 Julai 2026, termasuk aspek pengesahan MyKad, kesiapsiagaan petugas dan kelancaran transaksi di pam, selain pemilik kenderaan diesel persendirian boleh menyemak status kelayakan serta membuat permohonan tambahan melalui portal rasmi BUDI MADANI.








