
KUANTAN – Seramai 585 pemimpin sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) Cawangan Kuantan berhimpun bagi memperkukuh jaringan dan hala tuju ekonomi komuniti B40, selaras dengan pelancaran inisiatif terbaharu kerajaan menerusi Skim PADURI MADANI.
Skim pembiayaan kendalian AIM ini membabitkan peruntukan dana sebanyak RM230 juta disasarkan khusus untuk melahirkan 29,000 usahawan wanita B40 baharu di kawasan bandar dan luar bandar tahun ini.
Pegawai Eksekutif Unit Pemantauan & Penyeliaan Niaga AIM, Sridayu Samsuri menegaskan skim itu adalah bukti nyata keprihatinan kerajaan terhadap kelangsungan hidup golongan sasar.
“PADURI MADANI bukti Kerajaan MADANI faham kesusahan ibu B40. Tiada penjamin, tiada cagaran, walaupun nama disenarai hitam — asal ada usaha, AIM bantu.
“Sebanyak RM230 juta disediakan untuk 29,000 Sahabat baharu bangkit,” tegas Sridayu yang juga penggerak keusahawanan sosial menerusi TEJA Station di Bandar Putra, dekat Kuantan.
Keistimewaan utama Skim PADURI MADANI adalah kelonggaran syaratnya mengetepikan keperluan penjamin atau cagaran.
Skim ini turut membuka peluang kepada individu yang mempunyai rekod senarai hitam atau berstatus muflis, sekali gus meruntuhkan tembok halangan modal yang sering dihadapi golongan itu sebelum ini.
Menurutnya, perhimpunan kali ini bukan sahaja bertujuan memperkasakan modal insan, malah menyuntik penghayatan terhadap Nilai Ihsan MADANI agar para Sahabat terus cekal mengukuhkan ekonomi keluarga.
Turut hadir pada majlis itu adalah Fakhrul Anuar Zulkawi, Ahli Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) merangkap Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelesenan Perniagaan MBK.


