ALOR GAJAH – Kejayaan Malaysia melonjak lapan anak tangga dalam Penarafan Daya Saing Dunia 2026 oleh Institut Pembangunan Pengurusan Antarabangsa (IMD) membuktikan keupayaan serta kecekapan jentera perkhidmatan awam negara dalam melaksanakan dasar dan agenda pembangunan kerajaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pencapaian berkenaan adalah hasil kerjasama seluruh pasukan dalam perkhidmatan awam yang sentiasa berusaha meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
Menurut beliau, pengiktirafan terhadap prestasi Malaysia itu turut dizahirkan Presiden Turkmenistan, Serdar Berdimuhamedov, ketika lawatan beliau ke negara Asia Tengah tersebut baru-baru ini.
“Prestasi kita (Malaysia) dalam tiga setengah tahun ini bukan sebab Anwar Perdana Menteri, tidak… (tetapi) sebab sistem (pentadbiran penjawat awam) itu, dan rakan-rakan dalam pasukan… sebab penjawat awam.
“Presiden (Berdimuhamedov) sebut World Competitiveness Index (Penarafan Daya Saing Dunia), anda telah menunjukkan prestasi yang sangat baik. Saya kata terima kasih (kepada Presiden Serdar), tetapi saya tahu ini berlaku kerana pasukan perkhidmatan awam… kerana kecekapan dan perkhidmatan itu bukan hasil usaha saya seorang, tetapi seluruh pasukan di seluruh negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Sesi Santai Mesra Perdana Menteri dan Ketua Setiausaha Negara Bersama Warga Perkhidmatan Awam Zon Selatan di Pusat Kecemerlangan Kejuruteraan dan Teknologi Jabatan Kerja Raya (CREaTE), Simpang Ampat, hari ini.
Malaysia kini berada di tangga ke-15 dalam Penarafan Daya Saing Dunia 2026 berbanding kedudukan ke-23 yang dicatatkan tahun lalu.
Anwar berkata, pencapaian Malaysia dalam indeks berkenaan bukan sahaja meningkatkan imej negara di peringkat antarabangsa, malah menarik minat negara lain untuk mempelajari amalan terbaik yang dilaksanakan oleh perkhidmatan awam Malaysia.
Katanya, Berdimuhamedov menyatakan hasrat untuk menghantar pegawai dan penjawat awam Turkmenistan ke Malaysia bagi mengadakan sesi perbincangan serta pertukaran pandangan dengan penjawat awam tempatan dalam usaha memperkukuh sistem pentadbiran negara itu.
Beliau menyifatkan perkara tersebut sebagai satu penghormatan kepada Malaysia kerana negara lain melihat keupayaan penjawat awam tempatan sebagai model yang boleh dicontohi.
“Itu bos dia (Berdimuhamedov) kata, beliau nak hantar pasukan penjawat awamnya, bincang dengan pasukan penjawat awam kita. Ya, pujiannya satu, tetapi maknanya kita sudah bergerak maju,” katanya.
Majlis tersebut dihadiri Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abd Halim dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar
Turut hadir,Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah, dan Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Azhar Arshad.




