
KANGAR — Karnival MADANI: Menyemai Kasih Menyantuni Komuniti yang berlangsung selama dua hari sejak semalam menjadi platform mendekatkan perkhidmatan kerajaan kepada rakyat dengan menghimpunkan pelbagai agensi di bawah satu bumbung di Perlis.
Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Suriani Ahmad berkata, penganjuran karnival itu mencerminkan hasrat Kerajaan Persekutuan untuk memastikan setiap lapisan masyarakat dapat menikmati kemudahan dan perkhidmatan kerajaan secara langsung dan mudah.
“Karnival MADANI ini merupakan manifestasi hasrat Kerajaan Persekutuan untuk memastikan setiap lapisan masyarakat dapat menikmati kemudahan dan perkhidmatan yang disediakan secara langsung dan mudah.
“Karnival ini pada asalnya dijadualkan berlangsung pada 29 hingga 30 November 2025, namun ditangguhkan susulan musibah banjir sebelum berjaya direalisasikan pada Januari tahun ini,” katanya ketika berucap pada majlis penutupan karnival di Santan, dekat sini, hari ini.

Menurutnya, selain penyampaian perkhidmatan kerajaan, karnival itu turut mempromosikan gaya hidup sihat dan kebersamaan komuniti menerusi penganjuran pelbagai aktiviti termasuk Fun Run @ Batas Ban, Kayuhan Basikal, Langkah Sihat dan sukan rakyat.
“Karnival ini bukan sahaja menghimpunkan perkhidmatan kerajaan malah berfungsi mengeratkan silaturahim, mengukuhkan perpaduan serta mendorong kehidupan yang seimbang dalam kalangan komuniti,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan Karnival MADANI itu merupakan antara aktiviti di bawah Program Kampung Angkat MADANI Ketua Setiausaha KKM apabila Kampung Santan Selatan dipilih menerima peruntukan RM1 juta bagi menyelesaikan isu kemudahan asas dan infrastruktur setempat.
Selain itu, Sekolah Kebangsaan Santan turut terpilih sebagai Sekolah Angkat MADANI dengan peruntukan RM100,000 bagi menaik taraf kemudahan sekolah serta menyokong usaha meningkatkan pencapaian akademik dan potensi murid.
Karnival MADANI berkenaan turut menyaksikan pengiktirafan Kampung Santan Selatan, Kangar sebagai Kampung Angkat MADANI di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia.
Majlis pengiktirafan itu disempurnakan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang turut berkenan mengurniakan cermin mata kepada 29 warga emas dan 36 murid Sekolah Kebangsaan Santan serta menyampaikan bantuan barangan keperluan harian kepada 300 asnaf di sekitar kampung berkenaan.
Pelaksanaan Program Kampung Angkat MADANI di Kampung Santan Selatan melibatkan peruntukan keseluruhan RM1 juta dengan tumpuan kepada 10 projek fizikal dan dua projek bukan fizikal termasuk penaiktarafan infrastruktur Klinik Desa Kampung Santan, pengurusan sisa pepejal, pembinaan papan tanda dan tembok jalan serta kerja menaik taraf Masjid Nurus Said Kampung Santan.
Selain itu, pembangunan kampung turut merangkumi pemasangan kemudahan WiFi, penaiktarafan Dewan Orang Ramai Seri Santan, penurapan semula jalan sekitar kampung serta pembinaan longkang dan sistem saliran ke kawasan sawah dan laluan ke ladang bagi meningkatkan keselamatan, keselesaan dan kualiti hidup penduduk.





