Kerajaan beku keputusan perolehan keselamatan susulan siasatan rasuah

KERAJAAN memutuskan untuk membekukan sementara semua keputusan perolehan membabitkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta agensi berkaitan yang dikaitkan dengan isu rasuah bagi membolehkan penelitian dan penambahbaikan menyeluruh terhadap sistem perolehan dilaksanakan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu perlu bagi memastikan setiap proses perolehan mematuhi sepenuhnya peraturan ditetapkan serta bebas daripada sebarang unsur rasuah.

Beliau menegaskan, tindakan berkenaan penting kerana masih wujud budaya memandang ringan terhadap isu rasuah, malah terdapat pihak yang mempertahankan perbuatan itu termasuk ketika tindakan diambil terhadap bekas pemimpin yang memiliki kekayaan berbilion ringgit.

“Di Parlimen umpamanya, apabila tindakan diambil terhadap mantan-mantan menteri yang ada kekayaan berbilion (ringgit), kadang-kadang kita disanggah dan tidak diberikan kerjasama.

“Budaya buruk dan merosakkan ini mesti diperbaiki segera,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Usamah Bin Zaid, Wangsa Maju, hari ini.

Mengulas lanjut, Anwar menekankan bahawa usaha membanteras rasuah memerlukan tekad politik yang kukuh serta kerjasama semua lapisan masyarakat.

“Kefahaman mengenai kesan buruk rasuah perlu diperluaskan kepada semua lapisan masyarakat.

“Kerajaan tidak campur tangan dalam urusan penyiasatan, namun memandang serius perkembangan berkaitan rasuah kerana kegagalan mengambil tindakan tegas secara menyeluruh boleh membawa kesan buruk kepada ekonomi dan kehidupan rakyat.

“Jika RM10 juta atau RM20 juta diambil secara tidak sah, wang itu sepatutnya kembali kepada kerja-kerja pasukan tentera pada peringkat bawahan atau projek-projek kecil yang memberikan manfaat terus kepada rakyat,” katanya.

Sehubungan itu, Perdana Menteri berkata beliau sedang menunggu laporan terperinci berhubung sebarang kelompongan atau kelemahan dalam sistem perolehan sedia ada.

Katanya, perkara itu termasuk ruang kelulusan perbelanjaan bernilai kecil yang mudah disalahgunakan oleh jabatan tertentu, termasuk Kementerian Pertahanan.

Pada masa sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, atas kenyataan tegas dan jelas yang dikeluarkan berhubung isu berkenaan.

Semalam, media melaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyita barangan bernilai RM11.4 juta daripada dua kediaman bekas Panglima Tentera Darat (PTD), termasuk sebuah rumah yang didakwa sebagai ‘rumah rahsia’ di Kuala Lumpur.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, dipetik berkata rampasan turut dilakukan di sebuah rumah di Besut, Terengganu.

Menurutnya, sitaan itu melibatkan wang tunai RM4.4 juta, mata wang asing bernilai RM1.4 juta, sebuah kenderaan jenis Range Rover SVR dianggarkan bernilai RM360,000 serta 26 unit jam tangan bernilai RM2.3 juta.

Turut disita ialah barang kemas bernilai RM294,039.90, dua bentuk cincin berlian bernilai RM20,000, jongkong emas seberat 3.7 kilogram bernilai RM2.5 juta, medalion emas seberat 150 gram bernilai RM102,000 serta dua dinar emas seberat 8.5 gram bernilai RM5,780.

Dalam kes membabitkan bekas PTD berkenaan, sebanyak 75 akaun syarikat berjumlah RM32.5 juta turut dibekukan oleh SPRM.

Ops Parasit yang bermula pada 23 Disember lalu membabitkan siasatan terhadap bekas PTD itu berkaitan transaksi kemasukan wang mencurigakan ke dalam beberapa akaun dengan jumlah antara RM40,000 hingga ratusan ribu ringgit.

Pada 7 Januari lalu, bekas PTD terbabit bersama dua isterinya ditahan SPRM bagi membantu siasatan berhubung kes tender perolehan Tentera Darat.

Related Posts

Pendang, Kuala Krai catat kes dadah tertinggi negara

MACHANG – Empat negeri di utara dan Pantai Timur, iaitu Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu merekodkan kadar pembabitan kes dadah melebihi ambang nasional. Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Nik Nazmi direhatkan tiga bulan daripada aktiviti Bersama susulan kes khalwat

PEMIMPIN Bersama, Nik Nazmi Nik Ahmad direhatkan daripada semua aktiviti rasmi parti itu selama tiga bulan susulan pengakuannya ditahan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dalam kes khalwat pada 15 Oktober…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

BABSAR 2026 platform gilap bakat seni belia Sabah – Mustapha

BABSAR 2026 platform gilap bakat seni belia Sabah – Mustapha

Pendang, Kuala Krai catat kes dadah tertinggi negara

Pendang, Kuala Krai catat kes dadah tertinggi negara

Sukan bukan sekadar untuk kesihatan, wadah pupuk perpaduan – Hasbi

Sukan bukan sekadar untuk kesihatan, wadah pupuk perpaduan – Hasbi

TBS Daro santuni lima keluarga asnaf menerusi Program Baitulmal Sinergi

TBS Daro santuni lima keluarga asnaf menerusi Program Baitulmal Sinergi

Setiap daerah perlu bangunkan produk pelancongan tersendiri – Hajiji

Setiap daerah perlu bangunkan produk pelancongan tersendiri – Hajiji

Semangat ‘berderau’ angkat nilai kerjasama komuniti FELDA Jengka 24

Semangat ‘berderau’ angkat nilai kerjasama komuniti FELDA Jengka 24