
PENTADBIRAN Perikatan Nasional (PN) di Perlis hari ini masih berdiri secara struktur, namun semakin kehilangan makna dari sudut keyakinan awam.
Kerajaan wujud, keputusan dibuat dan urusan diteruskan, tetapi arah tuju pentadbiran kelihatan kabur.
Inilah gambaran sebuah kerajaan yang berfungsi pada zahirnya, tetapi semakin dipersoalkan dari segi roh dan hala tuju.
Kemarau pentadbiran yang melanda jauh lebih berbahaya daripada ribut politik. Ribut datang dengan bising, mencetuskan reaksi segera dan biasanya berlalu dengan pantas.
Kemarau pula senyap, berpanjangan dan perlahan-lahan mematikan. Inilah keadaan yang sedang membelenggu pentas politik PN Perlis hari ini.
Perubahan kepimpinan negeri telah mengubah keseluruhan iklim politik. Bukan sekadar pertukaran individu, tetapi peralihan cara kuasa yang digerakkan.
Pentadbiran kini dilihat lebih defensif, lebih berhati-hati dan lebih sibuk mempertahankan kedudukan daripada membina keyakinan rakyat.
Pengunduran beberapa lantikan politik memperlihatkan betapa proses penyesuaian dalaman masih belum selesai. Jika hampir selesai pun, hanya satu parti gabungan PN berdiri memegang portfolio pentadbiran.
Penyusunan semula kuasa sepatutnya mengukuhkan pentadbiran, namun di Perlis ia kelihatan menambah keretakan.
Tanpa naratif yang jelas, perubahan ini hanya mengukuhkan persepsi bahawa persefahaman dalaman semakin rapuh.
Lebih ketara, suasana senyap dalam kalangan rakan gabungan semakin mencolok. Kerajaan masih utuh dari segi angka, tetapi suara kolektifnya semakin hilang.
Dalam politik, senyap yang berpanjangan jarang membawa makna kestabilan; ia sering menjadi tanda keletihan dan ketidaksefahaman.
Kemarau politik ini menjadikan pentadbiran lebih reaktif daripada strategik. Keputusan dibuat bagi mengurus kesan, bukan merancang masa depan.
Bagi sebuah negeri kecil seperti Perlis, kelewatan dan ketidaktentuan ini cepat dirasai oleh rakyat di peringkat akar umbi. Pentas politik yang kelihatan tenang ini sebenarnya rapuh.
Tanah yang merekah nampak keras, tetapi cukup berbahaya jika dipijak tanpa waspada. Begitulah keadaan PN di Perlis, kelihatan terkawal, namun menyimpan risiko yang hanya menunggu masa untuk terserlah. Dalam keadaan ini, keyakinan terhadap kepimpinan sedia ada semakin mengering.
Persefahaman yang suatu ketika menjadi asas kekuatan PN Perlis kini jelas terhakis oleh sengketa dalaman dan percaturan kuasa yang berpanjangan. Pentadbiran kelihatan lebih sibuk mengurus survival politik daripada memulihkan kepercayaan rakyat.
Lebih membimbangkan, kemarau ini tidak menunjukkan tanda-tanda akan reda. Tiada hala tuju besar yang dikongsi, tiada mesej jelas yang mampu menyatukan, dan tiada usaha kolektif yang benar-benar meyakinkan. Kekosongan ini jarang dibiarkan lama dalam politik.
Maka tidak menghairankan apabila bisikan tentang keperluan mencari sumber air lain mula kedengaran kuat. Bukan lagi sekadar pembetulan dalaman, tetapi pertimbangan terhadap perubahan landskap kuasa politik negeri.
Apabila rakyat mula melihat koalisi alternatif sebagai pilihan yang lebih munasabah, itu petanda jelas bahawa bendang lama semakin gagal disirami.
Dalam politik, menunggu hujan daripada awan yang sama ketika tanah terus merekah adalah pertaruhan yang berisiko. Jika kemarau ini berlarutan, rakyat tidak akan terus menunggu. Mereka akan memilih untuk mengalirkan air dari saluran lain sebelum seluruh musim Perlis hilang begitu sahaja.





