MELAKA bumi bersejarah, di sini lima bersaudara menjadi legenda. Hang Tuah dan saudara-saudaranya diangkat menjadi laksamana pada usia yang muda.
Imbas kembali, ketika berada di Kota Bharu pada 31 Oktober 2026, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata:
“Saya tak tahu bila saya bakal meninggal atau bila saya akan kalah, tapi semasa saya ada kuasa, saya cuba untuk buat sehabis baik.”
Apa kena mengena dengan Pilihan Raya Negeri Melaka (PRN)?
Anwar sebagai Presiden Pakatan Harapan (PH) seolah memberi tahu, berilah ruang dan peluang kepada anak-anak muda, anak bangsa kita untuk menjadi pelapis tampuk kepimpinan.
Di Melaka, PH menjadi parti paling berani memberi ruang dan peluang kepada generasi muda dan Gen Z untuk menjadi pemimpin masyarakat.
Berdasarkan tinjauan lapangan dan sosial media, Farzana Hayani calon No. 1 DUN Klebang dan Mukhlis Mubin calon No. 1 DUN Kuala Linggi menjadi calon muda yang paling menonjol.
Pencalonan mereka disambut baik oleh masyarakat setempat. Malah, ada penduduk yang ditemui berkata:
“Mereka ni macam anak-anak kitalah, kita gembira bila mereka diberi kesempatan. Pemimpin-pemimpin tua, berehatlah”.
Selain itu, pada video yang tular, ada pengundi yang meluahkan keluhan mereka ketika didatangi jentera Barisan Nasional di DUN Gadek, dengan mengatakan:
“Apa nak jadi, kang kita cakap kang dia marah kita”.
Ini dipercayai kerana ADUN sebelumnya daripada MIC tidak memenuhi keperluan penduduk.
Anjakan baharu, memberi ruang dan peluang kepada calon muda PH bukan ertinya melepaskan mereka tanpa panduan kepimpinan.
Anwar dan kepimpinan parti lainnya akan tetap menjadi mentor mereka dalam melangkah. Tunjuk arah, macam kita didik anak-anak kita juga.
Jika kita tidak berani membuat paradigma perubahan, sampai bila kita ingin negara ini dipimpin oleh ‘dinosaur tua yang sudah kaya raya’ ?.
Anwar telah membuat keputusan berani, bijak dan berorentasikan kepentingan negara dalam memberi generasi muda peluang, maka sudah seharusnya kita menyahut seruan Perdana Menteri dengan memberi sokongan kepada calon-calon muda daripada Pakatan Harapan.
Melaka rumah kita, kita bagi anak-anak kita jaga. Merekalah pewaris rumah kita.


