
MIRI – Lebih 20 sukarelawan belia menyertai program ‘Zero Strays: Kesedaran Menjadi Tindakan’ bagi memupuk rasa tanggungjawab terhadap kebajikan haiwan terbiar di sini baru-baru ini.
Program inisiatif Setiausaha Ahli Parlimen Miri, Chaw Zhe Jian itu membawa peserta turun padang ke pusat perlindungan Zero Strays, sebuah organisasi tempatan yang komited dalam menyelamat, memulihkan dan melindungi haiwan jalanan.
Zhe Jian berkata, menerusi penglibatan secara langsung, para sukarelawan berpeluang memahami cabaran sebenar yang dihadapi haiwan terbiar serta usaha berterusan organisasi kebajikan tersebut.
Menurutnya yang juga Ketua Penerangan PKR Miri, setiap haiwan berhak mendapat hormat, belas kasihan dan layanan berperikemanusiaan kerana turut mempunyai emosi.
“Jika kita tidak mampu menyayangi mereka, sekurang-kurangnya janganlah menyakiti haiwan ini.
“Sikap tidak meninggalkan dan tidak menyalahgunakan haiwan adalah bentuk paling asas penghormatan terhadap sesebuah kehidupan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menyeru orang ramai supaya memainkan peranan lebih aktif dalam menangani isu haiwan terbiar dengan menyokong pusat perlindungan serta menjadi sukarelawan.
Jelas beliau, masyarakat juga digalakkan memilih kaedah pengambilan angkat (adoption) berbanding membeli haiwan peliharaan bagi memberikan peluang kedua kepada haiwan berkenaan.
“Walaupun Zero Strays menyediakan tempat perlindungan dan penjagaan, matlamat utama organisasi ini bukan untuk haiwan tinggal di sini secara kekal.
Sebaliknya, setiap haiwan diharapkan menemui rumah yang penyayang.
“Lawatan ini bukan sekadar pemerhatian, tetapi permulaan bermakna untuk mendorong belia mengubah kesedaran menjadi tindakan jangka panjang,” ujarnya.






