
Oleh: MK MUBIN
KUALA LUMPUR – Amalan baiah politik yang diamalkan oleh PAS tidak boleh disamakan dengan konsep baiah kenegaraan dalam Islam dan tidak mempunyai implikasi terhadap akidah seseorang, kata Pengamal Undang-undang merangkap Pengerusi Biro Undang-Undang Parti AMANAH (KANUN), Dr Zulqarnain Lukman.
Menurut beliau, baiah yang diamalkan PAS hanyalah berbentuk komitmen organisasi dan disiplin politik, bukannya baiah syar‘i seperti yang berlaku pada zaman Rasulullah SAW dan era Khulafa’ al-Rashidin, yang berkait secara langsung dengan pemerintahan negara Islam.
“Dalam konteks Islam, baiah asal adalah janji ketaatan kepada pemerintah yang sah bagi menjaga kestabilan negara dan kesatuan umat. Ia tidak wajar disamakan dengan baiah dalam organisasi politik moden yang tidak memiliki mandat pemerintahan,” katanya.
Mengulas isu penyingkiran tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS di Perlis, Dr Zulqarnain menjelaskan bahawa lafaz baiah yang digunapakai PAS sendiri tidak terpakai ke atas kes tersebut, kerana ketiga-tiga ADUN berkenaan tidak keluar parti atau melompat ke parti lain, sebaliknya hanya dihentikan keahlian.
Beliau menegaskan bahawa berdasarkan lafaz baiah PAS, kewajipan meletakkan jawatan hanya terpakai sekiranya seseorang wakil rakyat keluar atau dipecat daripada parti, dan bukan dalam situasi penggantungan atau pemberhentian keahlian.
“Justeru, tidak timbul soal laknat, dosa atau implikasi ke atas iman dan akidah dalam kes ini,” katanya.
Dr Zulqarnain turut merujuk pandangan Mufti Wilayah Persekutuan yang menjelaskan bahawa pelanggaran baiah dalam konteks organisasi atau jamaah tidak menjadikan seseorang terkeluar daripada Islam, sebaliknya ditangani melalui kaedah islah seperti taubat, kaffarah sumpah atau pampasan yang bersesuaian.
Sehubungan itu, beliau berpandangan bahawa penggunaan lafaz agama dalam baiah politik perlu diberi perhatian agar tidak disalah tafsir sehingga mencetuskan kekeliruan, ketakutan dan sikap taasub yang bercanggah dengan prinsip kesederhanaan Islam.





