Mencari masa depan dalam kejujuran diri

TAHUN 2026, hala tuju negara tidak lagi ditentukan oleh slogan atau pelan di atas kertas, tetapi oleh realiti hidup rakyat — harga barang, kos sara hidup, peluang kerja anak muda dan keyakinan sama ada negara ini masih berada di landasan betul.

Dalam dunia yang dilanda ketidaktentuan global — daripada konflik geopolitik, perubahan teknologi hingga tekanan ekonomi — satu hakikat semakin jelas: masa depan negara akhirnya ditentukan oleh watak manusia yang memimpin dan sikap rakyat yang dipimpin.

Dasar boleh dirangka dengan sempurna, tetapi tanpa integriti, kesedaran diri dan keberanian untuk berubah, semuanya mudah tinggal sebagai retorik.

Asas pembaharuan negara bermula dengan pembaharuan diri. Kejayaan sebenar bukan sekadar jawatan atau pencapaian kerjaya, tetapi keupayaan untuk kekal berprinsip dalam dunia yang sering memaksa manusia berkompromi dengan nilai.

Kata-kata Leo Tolstoy bahawa “ramai ingin mengubah dunia, tetapi jarang yang mahu mengubah diri sendiri” terasa pedih, namun tepat.

Pembaharuan menuntut keberanian moral — keberanian untuk membuat keputusan tidak popular, menolak norma lama dan meletakkan kepentingan rakyat mengatasi kepentingan kelompok. Di sinilah peranan pendidikan dan pembelajaran sepanjang hayat menjadi kritikal.

Pendidikan tidak boleh difahami semata-mata sebagai segulung ijazah, tetapi sebagai proses berterusan membina kehalusan berfikir, empati sosial dan keupayaan memahami realiti manusia yang kompleks.

Namun pembaharuan diri sahaja tidak memadai jika ia tidak diterjemahkan kepada tindakan negara yang menyentuh kehidupan rakyat.

Pembaharuan negara bukan soal mencipta dasar baharu setiap tahun, tetapi memastikan dasar sedia ada benar-benar dirasai manfaatnya.

Program seperti Sumbangan Asas Rahmah (SARA) misalnya, bukan sekadar angka dalam belanjawan. Bagi jutaan isi rumah B40, warga emas dan ibu tunggal, ia adalah talian hayat untuk memastikan dapur terus berasap.

Budi MADANI pula mencerminkan usaha menyusun semula subsidi agar bantuan sampai kepada yang memerlukan, sambil menutup ruang ketirisan yang sekian lama membebankan negara.

Dasar-dasar ini hanya bermakna jika digerakkan dengan roh MADANI bekerja — bekerja dengan amanah, telus dan berpaksikan keadilan sosial.

Konsep kepimpinan masa depan boleh dirumuskan melalui tiga tunjang utama: taat setia kepada rakyat dan prinsip, menjaga negara sebagai amanah bersama, dan MADANI bekerja sebagai budaya pentadbiran.

Pemimpin bukan sekadar mengarah, tetapi memberi teladan; rakyat bukan sekadar penerima, tetapi rakan pembangunan.

Kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sentiasa dilihat berusaha mengemudi laluan ini. Sama ada disokong atau dikritik, hakikatnya reformasi jarang berlaku tanpa rasa tidak selesa.

Penstrukturan subsidi, penegasan tadbir urus dan agenda Ekonomi MADANI adalah langkah berisiko dalam suasana politik yang rapuh.

Namun sejarah menunjukkan, perubahan besar tidak lahir daripada keselesaan, tetapi daripada keberanian menanggung risiko.

Cabaran masa depan turut menuntut generasi muda yang lebih bersedia. Kajian Dell Technologies pada 2018 meramalkan sebahagian besar pekerjaan masa depan belum wujud hari ini. Ini bermakna anak muda tidak boleh bergantung kepada kemahiran teknikal semata-mata.

Mereka perlu dibekalkan nilai kritis, etika, daya fikir dan ketahanan moral agar mampu menyesuaikan diri dengan perubahan pantas tanpa kehilangan kompas nilai.

Akhirnya, hala tuju negara tidak akan ditentukan oleh siapa yang paling lantang bersuara atau paling bijak berpidato. Ia ditentukan oleh keberanian untuk berubah.

Masa depan bukan sesuatu yang menunggu di hadapan. Ia sedang dibina hari ini — melalui keputusan kecil, keberanian besar dan kesanggupan untuk berubah.

Jika pembaharuan diri menjadi budaya nasional, maka pembaharuan negara bukan lagi impian. Ia menjadi kenyataan yang lahir daripada rakyat biasa dan pemimpin yang berani pikul amanah.

*Datuk Ismail Yusop ialah Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM)

Related Posts

PRU16: GPS sedia hadapi cabaran, saran PRN serentak jimat dana SPR

KUCHING – Gabungan Parti Sarawak (GPS) menyatakan kesiapsiagaan penuh untuk berdepan sebarang kemungkinan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) lebih awal, malah menyarankan agar Pilihan Raya Negeri (PRN) turut diadakan serentak…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Sultan Selangor titah Siew Ki, Ronnie Liu hayati Rukun Negara

SHAH ALAM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan teguran terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor, khususnya ADUN Seri Kembangan, Wong Siew Ki dan bekas Exco Selangor, Ronnie Liu…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

YDP MPK akui kelemahan diri, mohon maaf isu tular program rakyat

YDP MPK akui kelemahan diri, mohon maaf isu tular program rakyat

Isu DAP dan Johor tidak sama, BN Johor dilihat bercanggah semangat perpaduan

Isu DAP dan Johor tidak sama, BN Johor dilihat bercanggah semangat perpaduan

STeP perkasa usahawan, buka akses bantuan dan geran perniagaan

STeP perkasa usahawan, buka akses bantuan dan geran perniagaan

Roti canai Awang kekal jadi buruan pengunjung setiap pagi 

Roti canai Awang kekal jadi buruan pengunjung setiap pagi 

Jalan lencongan sementara FT185 dijangka dibuka 21 Mei

Jalan lencongan sementara FT185 dijangka dibuka 21 Mei

Jejak novel pertama Melayu: Ilmuwan dipelawa rungkai Hikayat Panglima Nikosa

Jejak novel pertama Melayu: Ilmuwan dipelawa rungkai Hikayat Panglima Nikosa