PUTRAJAYA – Pengaruh algoritma media sosial dan perang saraf berasaskan sentimen dikenal pasti sebagai antara cabaran utama negara dalam usaha membina Malaysia Madani menjelang 2026.
Ketua Pengarah JKOM, Datuk Ismail Yusop berkata, wacana awam pada ketika ini semakin dipacu oleh emosi dan persepsi berbanding fakta serta dasar sebenar kerajaan.
Beliau yang juga dikenali sebagai Tok Abah memaklumkan, cabaran komunikasi hari ini jauh berbeza berbanding era sebelum media sosial.
“Persoalannya, adakah kita mahu membiarkan TikTok, Facebook dan algoritma menentukan hala tuju negara?
“Jika dahulu penjajah menentukan masa depan kita, hari ini cabarannya ialah platform digital,” katanya pada podcast Minda Tok Abah, pada Jumaat
Podcast tersebut turut dihadiri Pakar Perang Saraf dan Penganalisis Keselamatan dan Politik Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Noor Nirwandy Mat Noordin sebagai tetamu jemputan.
Mengulas lanjut, Ismail berkata, JKOM sebagai sebuah institusi kerajaan bertanggungjawab memastikan maklumat sahih disampaikan serta peradaban komunikasi dipelihara.
“Serangan tidak berasas terhadap institusi negara boleh melemahkan kepercayaan rakyat,” katanya.

Sementara itu, Noor Nirwandy berkata, era pascanormal dan perkembangan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) menuntut pendekatan komunikasi yang lebih strategik.
“Masyarakat hari ini bertindak berdasarkan apa yang mereka rasa, bukan semata-mata apa yang mereka tahu,” katanya.
Beliau berkata, komunikasi kerajaan perlu membina elemen emosi, kefahaman dan rasa kebersamaan.
“Malaysia MADANI adalah proses pembinaan tamadun yang berasaskan nilai teras negara seperti Rukun Negara dan kedaulatan.
“Kita baru 67 tahun merdeka dan Malaysia MADANI baru tiga tahun. Proses ini wajar diberikan masa,” katanya.







