PUTRAJAYA – Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menyahut cabaran untuk diadakan sesi dialog terbuka antaranya dengan pimpinan Pas berhubung isu semasa yang berlaku di Malaysia.
Beliau menyifatkan cadangan sesi dialong itu sebagai menarik serta wajar dipertimbangkan demi manfaat rakyat.
Beliau berkata demikian ketika mengulas cadangan yang dikemukakan oleh pengguna Facebook, Mohd Rizal Azizan yang menyarankan agar pimpinan tertinggi Pas tampil berdialog secara terbuka berhubung isu-isu yang sering dibangkitkan antara kedua-dua pihak.
“Cadangan yang menarik,” katanya ringkas menerusi kenyataan sebagai reaksi awal terhadap gesaan tersebut.
Dalam statusnya, Mohd Rizal mencadangkan agar pimpinan Pas tidak hanya berbahas di media sosial, sebaliknya tampil secara bersemuka dalam forum ilmiah dan beradab demi pencerahan kepada rakyat.
Beliau berpendapat, keyakinan Mohd Asri bersedia menyertai dialog sedemikian sekiranya ia dianjurkan secara terbuka dan berfokus kepada perbincangan ilmiah.
“Saya percaya Dr Maza bersedia. Bagaimana dengan Presiden atau Timbalan Presiden? Bersedia?
“Pas selalu dakwa banyak hujah, apa kata pimpinan Pas pusat dialog dengan Dr Maza tentang hal-hal yang Dr Maza bangkitkan yang Pas tidak puas hati. Rakyat akan dapat ilmu dan manfaat,” katanya.
Mohd Rizal turut menegaskan perbezaan pandangan seharusnya diraikan melalui wacana matang, bukan pertelingkahan terbuka di media sosial yang boleh mengelirukan masyarakat.
“Ayuh, daripada kita saling balas membalas di media sosial, ayuh kita tampil di meja perdebatan yang lebih beradab dan ilmiah,” katanya.
Sebelum ini, beberapa pemimpin Pas melahirkan rasa tidak puas hati terhadap Mohd. Asri yang juga dikenali sebagai Maza susulan pandangan beliau terhadap kemelut politik di Perlis selain kritikan terhadap sumpah baiah Pas.
Antaranya Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman yang menafikan dakwaan Mohd Asri wujudnya lafaz baiah dan sumpah daripada parti itu yang menuntut pemimpinnya menceraikan isteri, jika berlaku pelanggaran.
Mohd Syahir turut memuat naik teks lafaz baiah dan sumpah itu di akaun Facebooknya, sekali gus membuktikan tiada pernyataan yang menuntut mana-mana ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas supaya menceraikan isteri, jika melompat ke parti lain.
Pada tahun 2005, Mohd Asri sebagai pendakwah muda ketika itu pernah berdebat mengenai wacana pemikiran Islam di Malaysia bersama wartawan dan penganalisis agama, Astora Jabat. –







