
Oleh: MK Mubin
Sejarah politik PAS memperlihatkan corak dalaman yang berulang, khususnya apabila berlaku perbezaan pandangan dan percanggahan hala tuju kepimpinan, sehingga membawa kepada tindakan menyingkirkan pemimpin atau wakil rakyat daripada parti itu sendiri.
Perkara tersebut bukanlah sesuatu yang baharu jika ditelusuri kembali krisis Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan pada tahun 1977–1978, yang menjadi antara episod paling hitam dalam sejarah politik PAS. Ketika itu, konflik dalaman antara kepimpinan parti yang diketuai Datuk Asri Muda dengan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohamed Nasir, berakhir dengan kejatuhan kerajaan PAS sendiri.
Krisis berkenaan tercetus apabila sebahagian besar pimpinan PAS Kelantan hilang kepercayaan terhadap Mohamed Nasir, yang didakwa tidak sehaluan dengan keputusan parti. Usul undi tidak percaya diluluskan oleh ADUN PAS sendiri, sekali gus mencerminkan bagaimana pertikaian dalaman telah membawa kepada tindakan menjatuhkan pemimpin daripada parti yang sama.
Keadaan bertambah buruk apabila konflik politik itu mencetuskan ketegangan awam sehingga memaksa Kerajaan Persekutuan mengisytiharkan Darurat di Kelantan. PAS akhirnya disingkirkan daripada Barisan Nasional dan tewas teruk dalam Pilihan Raya Negeri 1978, sekali gus kehilangan kuasa yang dipegang sejak 1959.
Lebih menarik, Mohamed Nasir yang disingkirkan kemudiannya menubuhkan parti baharu BERJASA, dan bertanding menentang PAS. Perkembangan itu memperlihatkan bahawa tindakan menyingkirkan pemimpin sendiri bukan sahaja melemahkan parti, malah membuka ruang perpecahan yang lebih besar.
Situasi ini dilihat mempunyai persamaan dengan perkembangan politik semasa, khususnya tindakan PAS memecat tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Perlis. Tindakan tersebut mengundang persoalan sama ada budaya ‘wala’ tanpa soal masih menjadi ukuran utama kesetiaan dalam parti, dan mereka yang dilihat tidak sehaluan akan disingkirkan tanpa kompromi.
Hakikat bahawa PAS pernah menyingkirkan Menteri Besar dan ADUN daripada parti mereka sendiri sebelum ini menguatkan hujah bahawa pendekatan tersebut bukan bersifat terpencil atau bermusim, sebaliknya telah berakar sejak dahulu lagi.
Sejarah krisis Kelantan 1977–1978 menjadi peringatan bahawa perpecahan dalaman dan tindakan memecat sesama ahli bukan sahaja melemahkan parti, tetapi juga boleh mengorbankan mandat rakyat. Persoalannya kini, sama ada PAS bersedia belajar daripada sejarah, atau terus mengulangi corak yang sama dalam landskap politik semasa.






