
KOTA KINABALU – Penglibatan aktif organisasi kebudayaan dalam aktiviti kebajikan bukan sahaja membantu memperkukuh usaha pemuliharaan warisan budaya, malah memberi impak langsung terhadap kesejahteraan masyarakat setempat.
Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi (KPSTI) Sabah, Datuk James Ratib berkata, kerjasama berterusan antara organisasi kebudayaan dan komuniti mampu melahirkan masyarakat yang lebih prihatin, bersatu padu serta bangga akan identiti budaya masing-masing.
“KPSTI Sabah sentiasa komited menyokong inisiatif badan bukan kerajaan dan organisasi kebudayaan yang berperanan memperkasa warisan budaya,” katanya.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Setiausaha Politik Menteri, Justinus Jalang, pada Majlis Makan Malam Amal di Putera Ballroom, di sini pada Selasa.

Dalam pada itu, beliau turut memuji inisiatif murni penganjur yang menyalurkan 20 peratus daripada hasil kutipan majlis tersebut kepada rumah-rumah kebajikan, khususnya bagi golongan kurang upaya dan warga emas di Sabah.
“Usaha ini disifatkan sebagai satu contoh keprihatinan sosial yang wajar dicontohi dalam usaha membina masyarakat yang inklusif dan berdaya ihsan,” ujarnya.
Tambahnya, peranan organisasi sedemikian juga penting dalam memperluas pendidikan komuniti serta membina jati diri generasi muda.
Sementara itu, Pengerusi Bersama Badan Budaya Nasional, Mainah @ Jenny, dalam ucapannya menzahirkan harapan agar sokongan serta peruntukan terhadap aktiviti-aktiviti Badan Budaya Nasional dapat terus dipertimbangkan pada masa akan datang.
“Sokongan berterusan penting bagi membolehkan pelaksanaan program dirancang dengan lebih efisien, tersusun dan berimpak tinggi,” katanya.
Jelasnya lagi, usaha berkenaan akan membantu memperkasa pembangunan budaya serta memberi manfaat yang lebih menyeluruh kepada masyarakat.
Sebagai rekod, majlis berkenaan telah dihadiri oleh lebih 200 tetamu, terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat, pemimpin komuniti serta penggiat budaya.







