
KUCHING – Polis Sarawak menahan lima lelaki tempatan bagi membantu siasatan kes khianat menggunakan api yang melibatkan beberapa kedai serbaneka di beberapa daerah di Sarawak baru-baru ini.
Pemangku Pesuruhjaya Polis Sarawak, DCP Saifullizan Ishak berkata, polis turut memaklumkan bahawa usaha sedang dijalankan untuk mengesan lapan lagi individu yang dipercayai dapat membantu siasatan kes berkenaan.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai individu terbabit diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Tan Chiang Fook, menerusi talian 018-2628805.
Jelas kenyataan itu, maklumat juga boleh disalurkan ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu pihak berkuasa menjalankan siasatan lanjut.
Dalam pada itu, polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat atau menyebarkan sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan yang sedang dijalankan.





