
KOTA KINABALU – Pakatan Harapan (PH) Sabah terbuka menjadikan cadangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk mengambil 15 daripada 25 kerusi Parlimen di Sabah sebagai asas perbincangan agihan kerusi pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Pengerusi PH Sabah, Datuk Mustapha Sakmud berkata, perbincangan itu penting bagi memastikan kerjasama sedia ada dapat diteruskan, termasuk usaha pembangunan di Sabah.
“Kita di Sabah ini ada 25 kerusi. Jadi maknanya GRS berminat untuk 15. Ada 10 lagi. Jadi saya fikir ini sebagai asas perbincanganlah.
“Yang penting, kita mahu menyambung usaha kerajaan, meneruskan kerajaan sedia ada dan juga meneruskan pembangunan sedia ada. Itu yang penting sebenarnya,” katanya semasa sidang media selepas penyerahan sumbangan kepada mangsa banjir di Dewan Kampung Rampayan, di sini, pada Jumaat.
Menurutnya, PH Sabah menghargai kerjasama dengan GRS dan terbuka untuk menilai kekuatan setiap parti di kawasan yang akan dibincangkan.
Beliau berkata PH tidak menetapkan jumlah kerusi tertentu, sebaliknya menghormati pandangan GRS sebelum perbincangan lanjut diadakan.
“Kerjasama dengan pihak GRS terutamanya kami amat hargai dan bolehlah dijadikan asas perbincangan.
“Biasalah, kita tidak meletakkan berapa tetapi maksudnya kita menghormati pandangan GRS dan kita boleh berbincang menilai kekuatan parti masing-masing di lokasi tersebut,” katanya.
Terdahulu, GRS menyatakan berdasarkan simulasi keputusan PRN Sabah lalu, gabungan itu secara teorinya berpotensi memenangi antara 14 hingga 15 kerusi Parlimen di Sabah daripada 25 kerusi sedia ada.
GRS turut menyatakan hasrat mendapatkan jumlah kerusi lebih besar bagi memperkukuh suara Sabah di peringkat Persekutuan.






