
PUTRAJAYA – Usaha pencegahan awal rasuah perlu diperkukuh dengan mengenal pasti serta menangani kelemahan yang berpotensi membuka ruang terhadap amalan tidak beretika itu.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, kejayaan tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah siasatan, tangkapan atau pertuduhan semata-mata, sebaliknya turut mengambil kira hasil dan impak tindakan yang dilaksanakan.
Menurutnya, kerjasama antara bahagian penguatkuasaan dan pencegahan perlu dipertingkatkan bagi memastikan maklumat, risikan serta pengalaman dapat dikongsi untuk menghasilkan tindakan lebih pantas dan berkesan.
“Kerjasama antara fungsi penguatkuasaan dan pencegahan perlu terus diperkukuh supaya maklumat, risikan serta pengalaman dapat dikongsi dan diterjemahkan kepada tindakan yang lebih pantas, tepat dan berkesan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Pengarah-Pengarah SPRM Bil. 3/2026 di Ibu Pejabat SPRM pada Khamis.
Abd Halim berkata, antara aspek yang perlu diberi perhatian ialah kelemahan proses kerja, ruang budi bicara, akses kepada sumber serta keberkesanan kawalan dan pemantauan sedia ada.
Katanya, penggunaan teknologi, data dan analitik juga perlu dimanfaatkan sepenuhnya bagi mengesan pola, trend serta risiko rasuah lebih awal, sekali gus membolehkan tindakan pencegahan dilaksanakan dengan lebih tepat.
Beliau berkata, perubahan bentuk rasuah dan salah guna kuasa seiring perkembangan teknologi menuntut SPRM mengamalkan pendekatan lebih dinamik dan responsif.
Pada masa sama, keupayaan warga SPRM perlu diperkukuh menerusi peningkatan kemahiran analitikal, pemahaman undang-undang serta penghayatan nilai integriti dan profesionalisme.
Abd Halim turut menggalakkan warga suruhanjaya itu supaya berani menyuarakan pandangan, melaporkan kelemahan dan memaklumkan sebarang risiko bagi membolehkan tindakan segera diambil.
“Organisasi yang kukuh ialah organisasi yang berani mengenal pasti dan menyelesaikan masalah secara terbuka, profesional dan bertanggungjawab,” katanya.
Mesyuarat itu turut dihadiri Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi), Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme), Datuk Junipah Wandi; serta Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan), Datuk Azmi Kamaruzaman.


