
TAHUN 2026 bakal menyaksikan perubahan besar yang akan memberi kesan kepada kos sara hidup, keselamatan digital dan penguatkuasaan undang-undang di Malaysia.
Ia juga menandakan permulaan kepada Rancangan Malaysia Ke-13, iaitu pelan lima tahun bagi hala tuju ekonomi dan sosial negara.
Kalendar akademik bagi sekolah kebangsaan akan kembali bermula pada bulan Januari selepas gangguan akibat pandemik.
Bagi negeri-negeri Kumpulan A, sesi persekolahan berlangsung dari 11 Januari hingga 31 Disember, manakala negeri-negeri Kumpulan B bermula pada 12 Januari.
Sektor pelancongan pula menjangkakan lonjakan besar sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 yang bertemakan “Malaysia Truly Asia”.
Bajet 2026 memperuntukkan lebih RM700 juta untuk promosi pelancongan, termasuk RM500 juta khusus bagi kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.
Bagi penjawat awam yang di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam akan menerima pelarasan gaji Fasa 2 pada 22 Januari.
Pelarasan ini melibatkan kenaikan sebanyak 15 peratus bagi kumpulan Pelaksana dan Pengurusan, manakala 7 peratus bagi kumpulan Pengurusan Tertinggi.
Kerajaan juga akan mengagihkan Sumbangan Asas Rahmah sebanyak RM100 kepada 22 juta rakyat dewasa pada pertengahan Februari.
Inisiatif bernilai RM2 bilion ini bertujuan membantu persiapan menghadapi Ramadan dan sambutan Tahun Baharu Cina.
Platform digital utama diwajibkan mendaftar di bawah peraturan baharu bermula 1 Januari.
Akta Keselamatan Dalam Talian turut berkuat kuasa, memberi tumpuan kepada perlindungan pengguna serta membanteras penipuan siber dan penyalahgunaan kecerdasan buatan (AI).
Akta Perintah Khidmat Komuniti juga bermula pada 1 Januari, menawarkan pemulihan sebagai alternatif kepada hukuman penjara.
Kompaun baharu hingga RM2,000 bagi kesalahan membuang sampah di ibu negara akan disertakan dengan khidmat komuniti wajib.
Sistem saman trafik baharu pula menawarkan diskaun hingga 50% untuk bayaran awal.
Takrifan umur belia secara rasmi diturunkan kepada 30 tahun bermula 1 Januari.
Kalendar sukan 2026 menyaksikan temasya Sukan Malaysia (SUKMA) yang akan berlangsung di Selangor dari 15 hingga 24 Ogos.
Malaysia juga bakal menjadi tuan rumah Kejohanan Polo Air Asia dan Kejohanan Akuatik Kumpulan Umur SEA ke-48.
Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) turut dilancarkan, berteraskan prinsip kedaulatan negara, masyarakat MADANI, serta peralihan berasaskan kecerdasan buatan (AI).
Ia bertujuan membentuk masyarakat inklusif dan menjadikan Malaysia peneraju teknologi digital serantau.
Perkembangan ini menjadikan tahun 2026 sebagai tahun penting yang menuntut kesedaran awam dan penyesuaian kepada norma baharu.






