
LAPAN negara Eropah bersama Jepun dan Kanada menyuarakan kebimbangan serius terhadap kemerosotan semula keadaan kemanusiaan di Semenanjung Gaza.
Dalam satu kenyataan bersama, menteri luar Kanada, Denmark, Finland, Perancis, Iceland, Jepun, Norway, Sweden, Switzerland dan United Kingdom mengingatkan bahawa situasi kemanusiaan di wilayah yang dikepung itu kekal bencana.
Menurut kenyataan itu, keadaan penduduk Gaza terus meruncing, khususnya ketika musim sejuk, dengan kira-kira 1.3 juta penduduk masih memerlukan bantuan perlindungan segera, lapor Anadolu.
Mereka turut merujuk laporan terbaharu Integrated Food Security Phase Classification (IPC) yang diterbitkan awal Disember lalu sebagai bukti bahawa keadaan di Gaza masih berada pada tahap kritikal.
Walaupun menghargai pelaksanaan gencatan senjata, kumpulan negara berkenaan menegaskan penderitaan penduduk awam Gaza tidak boleh diketepikan.
Kenyataan itu menggesa Israel memastikan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), rakan pelaksana serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dapat meneruskan kerja kemanusiaan mereka, selain menarik balik sekatan tidak munasabah terhadap barangan import yang diklasifikasikan sebagai mempunyai kegunaan dwiguna.
Menurut mereka, ramai rakan NGO antarabangsa berisiko dibatalkan pendaftaran berikutan keperluan baharu yang ketat ditetapkan Israel, yang boleh mengakibatkan penutupan operasi kemanusiaan secara paksa dalam tempoh 60 hari di Gaza dan Tebing Barat.
“Situasi ini akan memberi kesan serius terhadap akses kepada perkhidmatan asas, termasuk penjagaan kesihatan,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan sama menegaskan bahawa memastikan PBB dan rakan-rakannya dapat meneruskan tugas adalah penting bagi menjamin penyaluran bantuan secara berkecuali, neutral dan bebas di seluruh Gaza.
Ini termasuk peranan Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) yang menyediakan perkhidmatan penting seperti kesihatan dan pendidikan kepada jutaan pelarian Palestin.
Selain itu, negara berkenaan menggesa Tel Aviv membuka pintu masuk sempadan dan meningkatkan aliran bantuan kemanusiaan ke Gaza.
“Sasaran 4,200 trak seminggu, termasuk peruntukan 250 trak PBB sehari, sepatutnya menjadi had minimum, bukan maksimum,” menurut kenyataan itu sambil menegaskan jumlah tersebut perlu ditingkatkan bagi memastikan bekalan penting dapat disalurkan pada skala yang diperlukan.
Mereka turut menegaskan sekatan berterusan mengehadkan keupayaan penghantaran bantuan selaras dengan undang-undang kemanusiaan antarabangsa, selain menjejaskan usaha pembaikan, pemulihan dan pembinaan semula.
“Kami menggesa kerajaan Israel menghapuskan kekangan akses kemanusiaan ini serta melaksanakan dan mematuhi Pelan Menyeluruh bagi Menamatkan Konflik Gaza,” menurut kenyataan itu.
Walaupun gencatan senjata dilaksanakan, Israel dilaporkan masih menutup sebahagian besar pintu masuk ke Gaza, sekali gus menghalang kemasukan rumah mudah alih dan bahan pembinaan semula, serta memburukkan lagi krisis kemanusiaan yang menjejaskan lebih dua juta penduduk.


