Hannah Yeoh
KUALA LUMPUR – Pengenaan premium tanah sebanyak RM1,000 kepada Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) dibuat berdasarkan keputusan menukar status tanah kepada tanah institusi, sekali gus melepaskan potensi pembangunan komersial di kawasan berkenaan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, keputusan itu bukan bermaksud kerajaan mengorbankan hasil negara atau memberikan keistimewaan kepada mana-mana kaum seperti yang didakwa sesetengah pihak.
“Bangunan ini berusia 103 tahun dan diwartakan sebagai bangunan warisan pada tahun 2007.
“Bangunan warisan ini mencatat defisit operasi tahunan kira-kira RM400,000 disebabkan peningkatan kos penyelenggaraan, struktur bangunan yang semakin berusia serta keperluan yang semakin meningkat untuk menaik taraf aspek keselamatan dan kemudahan teknikal.
“Pemimpin UMNO dan Pas dan segelintir penunggang agama kuat mainkan isu ini sejak semalam. Kenapa RM1000 sahaja? Sebab KLSCAH rela tukar status tanah kepada tanah institusi yang hilang potensi pembangunan tinggi condo atau mall,” katanya menerusi kenyataan di Facebook pada Selasa.

Beliau turut menegaskan bahawa premium tanah, cukai tanah, cukai taksiran dan cukai pendapatan merupakan perkara berbeza yang dibayar kepada pihak berlainan mengikut tujuan masing-masing.
Jelasnya, premium tanah dibayar kepada kerajaan berdasarkan syarat dan potensi kegunaan tanah, manakala cukai tanah dibayar kepada pejabat tanah.
Cukai taksiran pula dibayar kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi perkhidmatan pihak berkuasa tempatan (PBT), termasuk kutipan sampah, sementara cukai pendapatan dibayar kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
“Mereka kata kita gadaikan hasil kerajaan. Sepatutnya kita kutip RM4 juta. Kenapa biarkan Cina terlepas bayar cukai? Hannah Yeoh DAP jaga kaum sendiri. Itu naratif yang dimainkan mereka.
“Mereka ini cuba nak kelirukan isu ini dengan sewa PPR.
“Sewa PPR pula dibayar kepada pemilik rumah. Letihlah nak ajar pemimpin UMNO dan Pas untuk bezakan cukai yang pelbagai. Pemimpin atasan mereka dan ahli keluarga masih hutang cukai pendapatan berbillion,” katanya.

Mengulas dakwaan kerajaan hanya memberikan diskaun kepada KLSCAH sedangkan peniaga dan rakyat tidak menerima manfaat sama, beliau berkata, DBKL sebelum ini memberikan potongan sewa sebanyak 50 peratus kepada kira-kira 10,000 peniaga di ibu negara selama dua tahun.
Malah, katanya, kadar sewa tapak bazar Ramadan di Kuala Lumpur ditetapkan antara yang terendah di Malaysia, iaitu RM400 bagi satu lot sepanjang Ramadan.
“Di KL, kita jaga semua tidak kira kaum atau agama,” katanya.
Hannah turut membangkitkan rekod pentadbiran terdahulu berkaitan pengurusan tanah dan kemudahan awam di Kuala Lumpur, termasuk penjualan padang awam serta kolam takungan banjir.
Beliau mendakwa pemimpin Pas ketika mentadbir Kuala Lumpur di bawah Perikatan Nasional (PN) turut mempertahankan penjualan padang awam sehingga berlaku tindakan memacak tiang di tengah padang bola sepak rakyat.
Pada masa sama, beliau mempersoalkan pendekatan pihak yang mengkritik keputusan menukar status tanah KLSCAH kepada institusi tanpa mengambil kira kepentingan pemeliharaan bangunan warisan di ibu negara.
“Ada kalangan mereka juga mempertikaikan kenapa KLSCAH nak tukar status kepada institusi?
“Pemimpin tamak dan korup mana nak faham nilai bangunan warisan kepada Kuala Lumpur? Kalau mereka faham, dah lama mereka naiktaraf dan jaga Bangunan Sultan Abdul Samad dan Carcosa Seri Negara dengan baik.
“Siapa yang buat? PMX Datuk Seri Anwar Ibrahim yang buat. Masa tu mereka bising juga kenapa belanja RM600 juta untuk tujuan ini,” katanya.


