KACAU bilau ribut taufan terus melanda Perikatan Nasional (PN) apabila Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pula melepaskan jawatan sebagai Setiausaha Agung gabungan itu.
Keputusan Azmin ini dibuat susulan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pegerusi PN hari ini.
“Saya mengambil perhatian bahawa sebagai Setiausaha Agung PN adalah atas bidang kuasa Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin. Maka, saya juga meletakkan jawatan sebagai Setiausaha Agung PN yang berkuat kuasa bermula 1 Januari 2026,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Azmin turut memaklumkan meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan PN Selangor juga berkuat kuasa pada tarikh yang sama.
Terdahulu sebelum Azmin, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepong, Datuk Dr Sahruddin Jamal, mengumumkan peletakan jawatan sebagai Pengerusi PN Johor melalui hantaran di Facebook.
Bekas Menteri Besar Johor itu berkata, keputusan itu dibuat susulan peletakan jawatan Muhyiddin di peringkat pusat.




